72.1 peratus penduduk dewasa Sabah terima satu dos vaksin setakat 21 Sept72.1 peratus penduduk dewasa Sabah terima satu dos vaksin setakat 21 Sept
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

72.1 peratus penduduk dewasa Sabah terima satu dos vaksin setakat 21 Sept


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya

23 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Seramai 1,959,277 orang atau 72.1 peratus populasi dewasa di Sabah telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat 21 September.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya berkata, jumlah penduduk dewasa Sabah berumur 18 tahun ke atas yang telah lengkap vaksin sehingga 21 Sept ialah seramai 1,614,771 atau 59.4 peratus.


Beliau berkata, kerajaan negeri telah memulakan pemberian vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun bermula 16 Sept lalu.


“Terdapat seramai 426,200 orang penduduk berumur 12 hingga 17 tahun di negeri ini. Setakat 21 Sept seramai 144,248 orang atau 33.8 peratus daripada penduduk remaja telah diberikan suntikan dos satu vaksin jenis Pfizer,” katanya.


Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang bertanya berapa jumlah rakyat Sabah telah lengkap vaksin dan apa sebab program vaksinasi rakyat di Sabah antara yang terkebelakang di Malaysia serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasinya.



Shahelmey berkata, faktor yang menyebabkan kadar pemberian vaksin di Sabah agak perlahan antaranya bilangan penduduk berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar dalam MySejahtera pada permulaan Fasa 2 adalah rendah.


“Faktor lain ialah bekalan vaksin yang terhad sebelum pertengahan bulan Julai. Kerajaan negeri telah berusaha untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi di kalangan penduduk di negeri ini dan dijangka mencapai imuniti kelompok menjelang hujung Oktober ini.


“Usaha-usaha tersebut termasuklah memperbanyakkan pusat-pusat pemberian vaksin, melaksanakan lebih banyak kempen kesedaran imunisasi, mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi dan melaksanakan pemberian vaksin secara walk-in untuk penduduk termasuk penduduk bukan warganegara,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan sebanyak 224 buah fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdiri daripada pelbagai jenis PPV dengan kapasiti suntikan 83,140 orang sehari.


“Selain pemberian vaksin di PPV, CITF daerah juga melaksanakan pemberian vaksin outreach seperti di kawasan kampung dan pulau-pulau dan skim penempatan pelarian.


“Ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak antara Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan Unit Pemimpin Pembangungan Masyarakt serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah,” katanya.


Shahelmey berkata, program vaksinasi mobiliti melibatkan kerjasama antara Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) dan Pejabat Daerah serta program jiwa murni melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Pejabat Daerah.


“Setakat ini sebanyak 733 program outreach vaksinasi telah dilaksanakan di seluruh daerah di Sabah. Melalui program ini sebanyak 358,284 orang berjaya diberikan suntikan vaksin.


“Pelaksanaan program outreach dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Sabah khususnya yang berada di kawasan pedalaman, terpencil dan pulau-pulau yang mengalami kesukaran mendapatkan vaksinasi di PPV daerah,” katanya.


Shahelmey berkata, di bawah program imunisasi Covid-19 negeri Sabah, bekalan vaksin adalah dibekalkan secara percuma oleh kerajaan persekutuan.


“Setakat 20 September, jumlah bekalan vaksin yang dibekalkan ke Sabah ialah sebanyak 5,042,310 dos. Untuk bulan September ini, tambahan sebanyak 2.89 juta dos akan dibekalkan. Jumlah ini mencukupi untuk menampung keperluan vaksinasi penduduk yang belum menerima vaksin,” katanya.


Beliau berkata, daripada 5,042,310 dos vaksin itu, Vaksin Pfizer sebanyak 3,388,320 dos, Sinovac (1,284,000 dos), AstraZeneca (189,990 dos) dan CanSino (180,000 dos).


Daripada keseluruhan vaksin yang diterima, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah membekalkan vaksin bagi setiap daerah iaitu Beaufort (122,000), Kuala Penyu (32,000), Sipitang (57,000), Papar (131,00).


“Kota Kinabalu (820,000), Penampang (180,000) Putatan (95,000), Keningau (190,000), Tenom (73,000), Tambunan (43,000), Nabawan (27,000), Tuaran (130,000), Kota Belud (110,000), Ranau (121,000), Kudat (120,000), Kota Marudu (87,000), Pitas (56,000), Sandakan (420,000), Tawau (410,000), Lahad Datu (244,000), Semporna (145,000), Kinabatangan (123,000), Tongod (32,000), Kunak (69,000) dan Beluran sebanyak 140,000,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page