top of page
  • Wartawan Nabalu News

8.4 juta rakyat bakal terima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2


1 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mulai Rabu ini, seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang melibatkan bayaran RM100 sehingga RM650.


Jelas beliau, kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.


"Selain dikreditkan ke dalam akaun penerima, sumbangan tersebut akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat- peringkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing," kata Anwar dalam kenyataan pada Isnin.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.


"Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” ujar beliau.


Menurutnya, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan.


"Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.


“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan," katanya.


Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR. Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

Comments


bottom of page