top of page

82,637 petugas kesihatan KKM dikecualikan waktu bekerja syif

  • nabalunews
  • Jul 11, 2025
  • 1 min read

11 Julai 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada waktu bekerja syif bagi petugas kesihatan melibatkan lima skim perkhidmatan kritikal di Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata, pengecualian itu membabitkan seramai 82,637 petugas kesihatan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.


Menurut JPA, langkah itu diambil susulan kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).


“Setelah meneliti secara mendalam keperluan operasi dan hakikat tugas kritikal yang dijalankan oleh petugas kesihatan yang terbabit secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa, kerajaan melihat tanggungjawab sedemikian menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa.


“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kebajikan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan penjawat awam, kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada waktu bekerja syif bagi petugas kesihatan lima skim perkhidmatan kritikal KKM," katanya.


JPA menjelaskan langkah itu adalah komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mendengar dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang sistem kesihatan negara.


Pada Februari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa kementeriannya memohon moratorium interim selama tiga bulan bagi meneliti dan memahami isu pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu untuk petugas kesihatan KKM.


Beliau kemudiannya mengumumkan pelanjutan moratorium tersebut pada 13 Mei lalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page