82 pelajar, 52 sekolah kawasan DUN Kadamaian terima pelbagai bantuan pendidikan tahun ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

82 pelajar, 52 sekolah kawasan DUN Kadamaian terima pelbagai bantuan pendidikan tahun ini

30 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 82 pelajar dan 52 buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima pelbagai jenis bantuan pendidikan di bawah Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, pada tahun ini.


Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Mohd Arifin Arif berkata, daripada jumlah itu seramai 15 pelajar menerima Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (21 orang) dan Biasiswa Kerajaan Negeri 46 pelajar.


Beliau berkata, bagi bantuan pendidikan untuk sekolah pula, sebanyak 25 buah sekolah menerima Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (BAGUS) dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) sebanyak 27 buah sekolah.

Ewon (tengah) bersama wakil-wakil rakyat yang hadir pada persidangan dewan undangan negeri, kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang bertanya berapakah senarai penerima bantuan laptop, biasiswa, dana PIBG dan lain-lain bantuan pendidikan di bawah kementerian bagi kawasan Kadamaian pada tahun ini.


Ewon diwakili Adun Luyang Phoong Jin Zhe membacakan soalan itu, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, pada Isnin.


“Bagi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) sebanyak RM200 yang diberikan kepada pelajar SPM, STPM dan STAM, Kementerian ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dalam proses memuktamadkan senarai nama pelajar yang layak untuk diberi bantuan ini,” katanya.

bottom of page