• nabalunews

9,403 INDIVIDU TERIMA DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19 DI SABAH


Gambar hiasan

7 Mac 2021


KOTA KINABALU: Seramai 9,403 individu di Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri dilancarkan pada Khamis lepas.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berkata 3,545 orang daripadanya menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini.


“Setakat ini, 3,545 orang telah menerima suntikan vaksin harian dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif (penerima suntikan vaksin) seramai 9,403 orang,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata seramai 3.2 juta individu telah mendaftar bagi mengikuti program imunisasi itu di aplikasi MySejahtera. berdasarkan rekod Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 setakat 3 petang tadi.


Masidi juga berkata kes baharu positif COVID-19 di Sabah hari ini meningkat kepada 99 kes berbanding 74 semalam dan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak tersebut di negeri berkenaan setakat ini ialah sebanyak 53,486 kes.


Beliau berkata peningkatan itu antara lain disebabkan kluster baharu dan sedia ada iaitu Kluster Industri Inanam di Kota Kinabalu (11 kes), Kluster Kuala Punteh di Keningau (dua), Kluster Sinsingon di Nabawan (12) dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin ke Filipina di Tawau (21).


Katanya sejumlah 92 pesakit COVID-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di negeri itu ialah 52,161 orang.


- Bernama