95 peratus pesakit Covid-19 dalam Kategori 4 dan 5 dilaporkan belum menerima dos penggalak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

95 peratus pesakit Covid-19 dalam Kategori 4 dan 5 dilaporkan belum menerima dos penggalak


2 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 95 peratus pesakit Covid-19 di dalam Kategori 4 dan 5 hari ini adalah merupakan golongan yang belum menerima dos penggalak.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, walaupun jumlah kes harian Sabah dalam Kategori 4 dan 5 hanya di bawah paras satu peratus, ianya masih membimbangkan.


Sementara itu, daripada jumlah keseluruhan 2,236 kes harian Sabah yang direkodkan hari ini, sebanyak 2,217 kes atau 99.16 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2.


“Ini diikuti dengan lapan kes masing-masing dalam Kategori 3 dan 4, serta tiga kes dalam Kategori 5,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Masidi berkata, Sabah mencatatkan sedikit peningkatan jangkitan baharu iaitu sebanyak 78

kes hari ini berbanding semalam dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu sebanyak 2,236 kes.


“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga menjangkakan jumlah kes baharu dalam beberapa hari akan datang akan berlegar di sekitar angka kes hari ini, sama ada meningkat sedikit ataupun turun sedikit,” ujarnya.


Tambah beliau, kadar atau nilai RT semasa di Sabah juga semakin stabil pada 1.0.


Bagaimanapun, sebanyak 24 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tujuh kes di Penampang, empat di Kota Kinabalu, tiga di Sandakan, dua di Kudat serta Ranau dan masing-masing satu kes di Kuala Penyu, Telupid, Kinabatangan, Tawau, Nabawan dan Keningau.


“Bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 4,297 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 297,926 orang.


“Manakala 1,596 pesakit yang sedang menerima rawatan iaitu 1,006 orang di hospital, 572 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara dan dua orang di fasiliti swasta.


“Dalam pada itu, bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 75 orang merangkumi 66 di ICU serta sembilan di open ward kubikel akut dan 26 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

.


bottom of page