𝐋𝐄𝐋𝐀𝐊𝐈 𝐌𝐈𝐋𝐈𝐊𝐈 𝐒𝐄𝐑𝐁𝐔𝐊 𝐃𝐀𝐔𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐀𝐈𝐑 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐌
- nabalunews
- Apr 10
- 1 min read

10 April 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki sejumlah besar serbuk daun dan air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut, di sini, semalam.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan untuk pemeriksaan awal kira-kira jam 11.20 pagi selepas pasukan serbuan mendapatinya dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin bin Piuh berkata, suspek ditahan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif namun berjaya dikawal oleh anggota pasukan serbuan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan berjaya menemui satu karung guni berisi tujuh paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kering disyaki daun ketum seberat 7,163.62 gram yang disimpan di dalam sebuah bilik.
“Selain itu, pasukan operasi turut menemui sebuah tong oren yang mengandungi 30 botol air ketum berkapasiti 1.5 liter setiap satu di bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barangan rampasan bagi tujuan pasaran tempatan itu dianggarkan bernilai RM3,000.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek warga tempatan itu negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan dan risikan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran ketum yang terlibat.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkaitan bahan terlarang ini,” katanya.
留言