AADK kesan 1.097 juta penagih dadah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

AADK kesan 1.097 juta penagih dadah


10 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang mengesan sekitar 1.097 juta penagih dadah di seluruh negara untuk memberikan rawatan dan pemulihan kepada mereka.


Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon, berkata pihaknya telah mengesan 124,139 penagih dadah setakat tahun lalu, dan kebanyakan daripada mereka adalah golongan belia yang menagih dadah sintetik.


Katanya, kajian yang dijalankan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan bahawa 66 peratus penagih dadah adalah berumur antara 19 dan 39 tahun.


"Angka ini telah juga mengukuhkan kajian yang dibuat oleh KDN bersama dengan UKM pada tahun 2022, yang menunjukkan bahawa daripada 100 orang belia di negara ini, enam orang mengaku pernah mengambil dadah dan empat orang mengaku masih aktif berdasarkan kajian dibuat.


"Daripada jumlah belia yang terlibat dalam penagihan dadah, kategori parah adalah seramai 92,000 orang. Sumber bekalan dadah pada tempoh kajian dibuat, selain daripada tokan ataupun rakan-rakan sebaya, sumber yang dikesan aktif dan meningkat adalah laman web gelap," katanya.


Jelas beliau, penjualan dadah secara dalam talian melalui laman web gelap dan aplikasi seperti Telegram dan WhatsApp semakin popular di negara ini.


Beliau berkata, maklumat daripada klien-klien AADK menunjukkan bahawa individu yang mengambil dadah secara 'suka-suka' membelanjakan sekitar RM50 untuk setiap tiga hari sebagai permulaan, dan jumlah tersebut meningkat mengikut tahap keparahan mereka.


"Sekarang ini selain pergi kepada tokan, mereka boleh buat pesanan (dadah) dan dihantar terus ke rumah. Saya rasa ini perlu diberi perhatian ramai terutama oleh ibu bapa untuk lihat barang yang masuk ke rumah agar ia boleh ditapis (cegah penyalahgunaan dadah).


"Ikut catatan, (harga) dadah ikut keaslian... ada yang murah serendah RM18 termasuk kos penghantaran, dan itu dimaklumkan oleh mereka (klien AADK)," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page