- Wartawan Nabalu News
Abidin ingatkan penduduk Ranau pupuk sikap tolerans, saling menerima tanpa mengira kaum, agama

16 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir mengingatkan penduduk di daerah ini untuk terus memupuk sikap toleransi dan saling menerima antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama.
Abidin berkata, nilai murni ini adalah sesuatu yang unik di Sabah dan jarang ditemui di tempat lain.
"Di Sabah, khususnya di Ranau, kita dapat melihat masyarakat berbilang kaum, agama dan fahaman politik hidup dalam harmoni dan mesra seperti satu keluarga kerana itulah adat budaya yang kita warisi sejak turun temurun.
"Jadikan ini sebagai satu contoh yang boleh menjadi teladan oleh masyarakat lain. Jangan kita terpengaruh dengan apa yang berlaku di tempat lain di mana fahaman ekstrem menjadikan mereka hidup dalam konflik sesama mereka.
“Masyarakat di sini dapat melihat melebihi perbezaan antara satu sama lain dan hidup dalam suasana aman walaupun berlainan pendapat. Ini mesti kita pelihara dan wariskan kepada generasi akan datang,” katanya pada satu Majlis Berbuka Puasa baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, Abidin turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada lebih 40 Pengerusi dan Ustaz masjid dan surau dalam DUN Paginatan.
Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah bagi menghargai persahabatan di kalangan rakan-rakan komuniti Muslim di DUN tersebut.