- Wartawan Nabalu News
Adakah GRS tidak menghargai bantuan PH Sabah dalam menstabilkan politik? DAPSY
14 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Setiausaha Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sabah, Chan Long Wei, mempersoalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menghargai Pakatan Harapan (PH) Sabah yang membantu menstabilkan politik negeri semasa krisis Januari lalu.
Beliau mendakwa, PH Sabah telah membantu GRS mengekalkan kestabilan politik semasa krisis dan berpegang kepada prinsip menentang mana-mana kerajaan ‘pintu belakang’ daripada mengambil alih.
Chan berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang mencadangkan supaya GRS bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya Sabah akan datang.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada GRS bersedia untuk menentang Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
"Adakah ia niat tulen GRS atau hanya gerakan mementingkan diri sendiri oleh SAPP?" katanya dalam satu kenyataan media.
Chan mempersoalkan sama ada kenyataan Yong iti mencerminkan sentimen GRS, yang bertujuan menyemai perbalahan dengan PH Sabah dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya Sabah akan datang.
Beliau menegaskan bahawa keadaan kini agak jelas, kerana Yong secara terbuka mengumumkan kedudukannya dalam PN sambil menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"GRS mesti menjelaskan pendirian mereka berhubung kenyataan Yong dan SAPP. Jika mereka tidak bersetuju, tindakan tatatertib mesti diambil terhadap Yong kerana mengganggu keharmonian Kerajaan Perpaduan," kata Chan.
Katanya kagi: “Bagi Pakatan Harapan, kami bersedia mempertahankan kerusi kami, berdiri bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan, untuk menjaga kepelbagaian dan melindungi hubungan etnik dan agama Sabah yang harmoni”.
“DAP dan PH Sabah menumpukan usaha membina semula ekonomi bersama Kerajaan Persekutuan untuk Sabah dan Malaysia," tambah beliau.