Adakah KKM buat kajian sebelum keluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu? Madius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Adakah KKM buat kajian sebelum keluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu? Madius



21 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau mempersoalkan sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat kajian dan penilaian menyeluruh sebelum mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar menggugurkan kewajiban pengimbas suhu daripada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.


Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, sekiranya kajian dan penilaian mendalam telah dibuat, maka adalah wajar KKM mengumumkan hasil kajian dan penilaian mereka.


Beliau turut mempersoalkan sama ada langkah terbaharu KKM bermaksud imbasan suhu juga tidak akan digunakan sama sekali di lapangan terbang dan premis-premis utama tumpuan orang ramai.


“Ini kerana kita tidak mahu orang ramai dan pemilik premis dibebankan dan kekal dikelirukan dengan SOP atau peraturan baharu kelak, terutama ketika impak penularan varian Omicron dikatakan bakal membawa impak besar dalam waktu terdekat,” katanya di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.


Khairy dipetik sebagai berkata, KKM bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada SOP kawalan Covid-19 di seluruh negara tidak lama lagi.


"Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri COVID-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan," katanya.


Madius berkata, ekoran tindakan itu, wujud pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat, pakar-pakar kesihatan dan pihak penguatkuasaan dalam usaha memerangi pandemik ini.


“Ini kerana mekanisme pengimbas suhu bukan sahaja satu pendekatan baharu yang digunakan ketika pandemik Covid-19, tetapi wujud sejak SARS mula muncul lebih satu dekad lalu.


“Oleh itu, hampir setiap premis telah mengeluarkan belanja, yang secara kolektif melibatkan berjuta-juta ringgit, bagi tujuan imbasan suhu atas arahan pihak berkuasa sejak tahun 2020,” katanya.


bottom of page