Adakah MIC dan BN sanggup terima individu yang pernah mengaku menerima Mykad secara rasuah?
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Adakah MIC dan BN sanggup terima individu yang pernah mengaku menerima Mykad secara rasuah?



25 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mengenai status Pengerusi MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir sungguh mengejutkan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, apa yang dikatakan oleh Saravanan berhubung MyKad tulen yang dimiliki Peer Mohamad Kadir sebagai bukan suatu isu menunjukkan beliau seorang pemimpin dan anggota Jemaah Menteri yang tidak bertanggungjawab.


“Persoalan saya kepada Saravanan, adakah parti MIC dan Barisan Nasional (BN) menghalalkan pengurniaan MyKad kepada pendatang asing dari India secara Rasuah dan salahguna kuasa seperti Peer Mohamad Kadir?

 

“Adakah parti MIC sanggup menerima seorang yang pernah mengakui menerima MyKad menerusi cara penipuan sebelum ini sebagai pemimpin mereka?

 

“MIC dan BN serta Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu tampil memberi penjelasan mengenai status sebenar Peer Mohamad Kadir,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

 

Madius berpendapat bahawa MIC perlu menyemak semula jawatan Pengerusi MIC yang diberikan dan pada masa yang sama jawatan Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah harus dibatalkan dengan serta merta.

 

“UPKO mahu rakyat Sabah sewajarnya menolak parti-parti yang menerima dan melantik penerima MyKad secara rasuah dan salahgunakuasa.


“Rakyat Sabah tidak wajar menggadaikan maruah dan masa depan dengan mengundi parti-parti yang menerima pemilik MyKad secara tidak sah seperti Peer Mohamad Kadir,” katanya.

 

Katanya lagi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, perlu menjelaskan kepada rakyat adakah Kerajaan Sabah pimpinan beliau telah menjalankan siasatan terhadap status mykad serta Kewarganegaraan Peer Mohamad Kadir seperti yang diumumkan pada 18 Febuari 2022.

 

“Cukuplah kita ditipu dan diperdayakan oleh pemimpin-pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri masing-masing,” katanya.

 

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page