Adakah Pakatan Harapan kini semakin jinak kerana MoU?
top of page
  • nabalunews

Adakah Pakatan Harapan kini semakin jinak kerana MoU?


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

24 Januari 2022


Jika ada anggapan sedemikian, maka anggapan itu tidak betul. Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti pembangkang terbesar di dalam Parlimen masih kekal memainkan peranannya melakukan semak dan imbang di Dewan Rakyat.


Ini dapat dilihat dalam perbahasan Belanjawan 2022, dan suara lantang PH di dalam dan di luar Parlimen dalam pelbagai isu, misalnya Pandemik Covid-19, Pandora Papers, Bencana Banjir di Selangor, Pahang dan beberapa negeri lain dan terbaru isu SPRM melibatkan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.


Kesimpulannya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Pusat dengan PH tidak menghalang PH menjalankan tugas hakikinya menurut konvensi Perlembagaan di bawah sistem demokrasi berparlimen iaitu melakukan proses semak dan imbang ke atas badan Eksekutif ataupun kerajaan.


Adakah MoU Telah Mencapai Kejayaan?


Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pada 13 September 2021 baru sahaja berumur empat bulan. Namun, setakat 20 Januari 2022 dianggarkan sebanyak 70 peratus perkara-perkara yang telah disepakati berjaya dilaksanakan.


Apakah contoh-contoh kejayaan MoU?


Misalnya Perlaksanaan Undi 18 telahpun diwartakan dan akan dilaksanakan jika ada pilihanraya umum atau pilihanraya negeri pada tahun 2022 ini. Tentu perkara ini satu pencapaian penting hasil dari MoU.


Apa lagi yang dicapai?


Rakyat amat marah dengan gejala lompat parti di kalangan ahli-ahli Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang menyebabkan Kerajaan yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat tumbang.


PH telah memperjuangkan supaya digubal Akta Anti-Lompat Parti. Ini termasuk sebagai satu daripada klausa dalam MoU.


Kerajaan mahu membentang Akta Anti-Lompat Parti itu pada sidang Dewan Rakyat pada bulan Julai tahun 2022. Tetapi dibantah oleh PH. Garis Masa yang ditetapkan di dalam MoU ialah Akta Anti-Lompat Parti itu mesti dibentangkan dalam Sidang pertama bagi penggal tahun 2022 ini.


Akhirnya atas tuntutan PH maka Kabinet bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang Akta Anti-Lompat Parti pada Mesyuarat pertama Dewan Rakyat yang akan bermula 28 Februari 2022. Tidakkah ini satu kejayaan yang telah dicapai oleh PH? Tidakkah ini sesuatu yang positif dan baik bagi demokrasi di Malaysia dan dituntut oleh rakyat selama ini?


Adakah Setakat itu Kejayaan MoU yang berjaya dicapai?


Kelemahan PH ialah ia tidak pandai dari segi perhubungan awam untuk menghebahkan kejayaannya membawa perubahan hasil dari MoU. PH tak mahu jadi seperti ayam, bertelor sebiji, riuh sekampung.


Kerajaan pula yang ada radio dan televisyen semacam sengaja senyap sepi tidak mahu menceritakan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai sepanjang MoU ditandatangani.


Logiknya mudah difahami, setiap kejayaan perlaksanaan MoU bermakna satu kejayaan di pihak PH yang boleh ditafsirkan sebagai Kerajaan berlemah dan mengalah terhadap tuntutan PH.


Tetapi dari segi realitinya, antara kejayaan terbesar MoU yang patut diraikan oleh rakyat dan kredit patut diberi kepada Kerajaan Pusat dan PH ialah reformasi yang sedang dibawa di Parlimen. PH selesa dengan istilah reformasi Parlimen tetapi Kerajaan yang mewarisi legasi lamanya mahu perubahan itu dipanggil transformasi.


Apakah reformasi atau transformasi parlimen yang telah berlaku hasil dari kejayaan MoU?


Jawapannya ialah pembentukan sembilan buah Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat. Dari sembilan Jawatankuasa tersebut, lima dipengerusikan oleh ahli parlimen Kerajaan dan empat dipengerusikan oleh ahli parlimen pembangkang.


Misalanya pengerusi bagi jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kesihatan, satu Jawatankuasa yang penting semasa Pandemik Covid-19 ini dipengerusikan oleh YB Ahli Parlimen Bandar Kuching (PH/DAP).


Manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keselamatan dan Pertahanan yang juga penting, dipengerusikan oleh YB Ahli Parlimen Sungai Petani (PH/Keadilan).


Pada masa yang lepas-lepas semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengerusikan oleh ahli parlimen Kerajaan sahaja. Tentu perubahan positif ini satu hasil baik dari segi kejayaan MoU.


Bukan itu sahaja. Hasil dari tuntutan PH ialah setiap Jawatankuasa Pilihan Khas itu jumlah keanggotaan adalah sama banyak antara Kerajaan dan Pembangkang, iaitu lima dari Kerajaan dan lima orang dari Pembangkang bagi setiap Jawatankuasa tersebut.


Kesimpulannya MoU ini bukanlah hanya bermakna ahli-ahli parlimen PH sekarang sekadar mendapat peruntukan dana yang sama seperti ahli-ahli parlimen Kerajaan, maka kerana itu ahli-ahli parlimen PH dianggap semakin jinak pada persepsi umum.


Pertama perlu disebut, peruntukan yang diterima oleh ahli parlimen pembangkang adalah wajar dan betul. Peruntukan dana itu ada dua komponen. Jumlah yang besar adalah dana untuk membantu rakyat di kawasan parlimen berkenaan. Ini menguntungkan rakyat. Manakala peruntukan bagi kos pengurusan Pusat Khidmat Ahli Parlimen telah dapat membantu ahli parlimen yang telah dipilih rakyat itu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.


Malah PH yang berjiwa besar menuntut agar peruntukan yang sama diberi kepada semua ahli parlimen pembangkang, termasuk yang tidak turut menandatangani MoU seperti dari Parti Warisan, Pejuang, Muda, dan ahli-ahli parlimen bebas.


Ada 30 peratus lagi komponen di dalam MoU yang belum berjaya dilaksanakan. Apakah perkkara-perkara itu?


Antaranya ialah dalam isu menetapkan tempoh berkuasa seseorang Perdana Menteri supaya tidak melebihi dua penggal atau 10 tahun. Satu lagi ialah dalam soal menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.


Dua perkara ini tentu sahaja akan menyusul kemudian untuk melengkapkan perlaksanaan MoU yang telah berjaya sekurang-kurangnya setakat ini meredakan ketegangan politik yang selama ini telah mengwujudkan keresahan dan kebimbangan rakyat serta komuniti peniaga dan juga pelabur.


Dengan kejayaan MoU setakat ini membuktikan PH bukanlah satu gabungan politik yang rakus dan kemaruk untuk berkuasa. Sebaliknya PH muncul sebagai satu blok politik pembangkang yang konstruktif dan membina, yang bertanggungjawab serta sederhana dan selayaknya diberi peluang dan mandat oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-15 yang akan datang.


Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

bottom of page