Adun Tanjong Papat cadang kerajaan negeri laksana akta anti lompat partiAdun Tanjong Papat cadang kerajaan negeri laksana akta anti lompat parti
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Adun Tanjong Papat cadang kerajaan negeri laksana akta anti lompat parti



22 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Papat Datuk Frankie Poon Ming Fung mencadangkan agar Kerajaan Negeri melaksanakan undang-undang akta anti lompat parti bagi mengelak mana-mana wakil rakyat Negeri melompat ke parti politik lain daripada parti asal ditandingi setelah dipilih oleh rakyat.


Beliau berkata, pelaksanaan ini selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pihak Pembangkang.


Katanya, persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan pihak pembangkang untuk menggubal Undang-Undang akta anti lompat parti adalah langkah yang baik dan bijak untuk mewujudkan kestabilan pemerintahan negara, agar wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat setia terhadap parti mereka.


“Kebebasan bergabung tidak boleh dijelmakan sebagai alasan oleh wakil rakyat untuk mengkhianati kepercayaan pengundi-pengundinya.


“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah telah menyokong penuh Memorandum Persefahaman yang dibuat di antara Kerajaan Persekutuan dan pihak pembangkang. Sudah tentu penunaian dengan hanya kata-kata adalah mudah.


“Oleh itu saya mencadangkan agar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor melanjutkan pelaksanaan undang-undang akta anti lompat parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Frankie berkata, setiap wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat di kawasannya harus dihormati oleh Kerajaan semasa.


Oleh itu katanya, semua wakil rakyat yang dipilih, baik dari pihak Kerajaan atau pembangkang harus mendapat peruntukan yang sama bagi memastikan setiap penduduk yang membayar cukai dapat merasa peruntukan pembangunan dibelanja di kawasan masing-masing melalui wakil rakyat yang dipilih oleh penduduknya.


Mengenai Undi18, Frankie mencadangkan agar Kerajaan Negeri segera meminda perlembagaan Negeri bagi menurunkan usia layak mengundi ke 18 tahun serta mengizinkan mereka untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya yang akan datang sejajar dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan.


“Ini sudah tentunya akan dapat membantu mendorong negeri kita membangun setara dengan negeri-negeri lain,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page