ADUN Telupid cadang sesi libat urus sebelum bentang RUU anti-lompat ke DUN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ADUN Telupid cadang sesi libat urus sebelum bentang RUU anti-lompat ke DUN

18 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone Kurum, mencadangkan agar kerajaan negeri Sabah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum membawa Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti-lompat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.


Beliau berkata, ini adalah untuk memastikan peruntukan undang-undang anti-lompat mengambil kira pelbagai faktor dan tidak menjadi alat untuk pemimpin parti membelakangkan nilai dan norma demokrasi.


Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyokong secara prinsipnya perluasan peruntukan undang-undang berkaitan anti-lompat pada kadar segera sebagai satu reformasi dan pengukuhan kepada pelaksanaan sistem demokrasi di Sabah.


“Kita bersyukur kerana hampir semua pihak di Sabah menyokong pelaksanaan peruntukan undang-undang anti-lompat di Sabah, termasuk pihak yang pernah 'menjadi mangsa' dan pihak yang pernah 'mendapat manfaat' daripada pelbagai bentuk 'lompatan politik',” ujarnya.


Beliau merujuk kepada kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, yang bercadang membawa RUU berkaitan anti-lompat dalam sidang DUN Sabah tahun ini.


Tambah Jonnybone, kerajaan negeri perlu meneliti segera kewajaran mengguna pakai sepenuhnya peruntukan undang-undang anti-lompat di peringkat nasional untuk perluasan ke peringkat negeri.


Beliau memberi contoh beberapa isu yang perlu dikaji adalah takrifan dan bentukan tindakan yang dikategorikan sebagai melompat parti yang membawa kepada pengguguran status ADUN.


"Sebagai contoh, adakah keputusan seseorang ADUN yang tidak keluar parti tetapi tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin parti dalam sesuatu perkara yang melibatkan urusan DUN boleh dianggap sebagai 'melompat'," katanya.


Beliau turut menyoal adakah tindakan beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) di Sabah yang tidak mengikuti arahan pemimpin parti untuk menukar Ketua Menteri dengan calon dari parti lawan boleh dianggap sebagai 'melompat', sedangkan pengundi juga memilih mereka atas faktor menolak parti lawan.


"Undang-undang anti-lompat juga perlu dielakkan menjadi alat untuk pemimpin parti membelakangkan nilai dan norma demokrasi itu sendiri," katanya lagi.


Beliau berharap kerajaan negeri dapat membuat sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebelum RUU berkaitan anti-lompat dibawa ke DUN Sabah tahun ini juga.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page