Agenda Sabah First: Lapan Teras Manifesto UPKO di DUN N.47 Telupid
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 2 min read

25 November 2025
KOTA KINABALU: Seruan “Sabah First” dan lapan teras manifesto UPKO menjadi landasan utama perjuangan Felix Joseph Saang untuk membawa Telupid ke arah masa depan yang lebih teratur dan berdaya saing.
Felix melihat kedudukan strategik Telupid sebagai peluang besar untuk dibangunkan sebagai bandar satelit jika isu kemunduran asas yang berlarutan dapat ditangani segera.
Beliau, yang merupakan Ketua Bahagian UPKO Beluran, menegaskan sudah tiba masanya Telupid muncul sebagai sebuah daerah yang inklusif dan mampan, dengan penekanan kepada prasarana, pendidikan, mobiliti sosial dan peluang ekonomi.
Antara keutamaan manifesto beliau ialah penyelesaian hak tanah adat yang sekian lama membelenggu masyarakat luar bandar.
Sebuah jawatankuasa khas, katanya, akan diwujudkan bagi mempercepatkan proses geran tanah, memastikan pemilikan yang adil serta menyelesaikan sempadan kampung secara telus.
Langkah ini disusuli usaha menaik taraf jalan kampung, kemudahan awam dan liputan internet, selain memperbaiki bekalan air dan elektrik.
Pembinaan Balai Bomba Telupid yang lama tertangguh turut menjadi komitmen beliau.
Dari segi tadbir urus komuniti, Felix, yang juga Ketua Pemuda UPKO Nasional, mahu proses pelantikan ketua kampung dibuat secara adil dan berdasarkan keupayaan, di samping memperkasa keusahawanan akar umbi melalui koperasi, program wanita dan pembangunan bakat di peringkat daerah.
Pemerkasaan ekonomi turut diberi tumpuan melalui pewujudan kawasan komersial terancang di setiap kampung serta pusat pengumpulan hasil pertanian dan ternakan.
Menyedari potensi Telupid sebagai destinasi pelancongan luar bandar, beliau mahu menggiatkan semula jawatankuasa Tagal bagi membangunkan tarikan setempat, disokong sebuah pusat maklumat yang menampilkan sejarah, budaya dan produk tempatan.
Beliau turut merancang menubuhkan skuad khas bagi membantu warga emas, golongan kurang berkemampuan dan kumpulan terpinggir.
“Telupid terletak di tengah Sabah dan mempunyai potensi besar, namun pembangunan di sini mesti dipacu secara menyeluruh dengan kepimpinan yang berpandangan jauh,” katanya.
Felix berdepan saingan lapan penjuru bagi kerusi Telupid menentang Jonnybone J. Kurum (GRS), Jamin Jamri (PN), Simah Matusip (Warisan), Pagrios @ Petrus Zabang (PBM), Michel Alok (PIS), Nilis Joseph (KDM), Jikmariya Muran (STAR) dan Benedict Asmat (BN).














