Agenda Sabah First: Sembilan Teras Manifesto UPKO di DUN Kuamut
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 2 min read

26 November 2025
KOTA KINABALU: Agenda “Sabah First” dan sembilan teras manifesto menjadi landasan utama perjuangan calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Mohina Sidom untuk membawa pembangunan menyeluruh di Kuamut.
Mohina berkata dasar tersebut dirangka berdasarkan isu dibangkitkan penduduk termasuk pembangunan infrastruktur, pemilikan tanah dan hak orang asal, peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan, serta pemerkasaan wanita dan belia.
Antara keutamaan manifesto beliau ialah mempercepatkan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik, serta membina jaringan perhubungan bagi memudahkan aktiviti sosioekonomi penduduk.
Pembinaan lebih banyak rumah bantuan khusus untuk golongan rentan, pembaikan rumah daif serta pembinaan kemudahan awam turut menjadi komiten beliau.
Mohina, yang juga Ketua Wanita UPKO Malaysia, mahu meneruskan Program Pengukuran Pantas dengan pengurusan yang lebih cekap untuk memudahkan penduduk kampung memperoleh hak milik tanah dengan keutamaan diberi kepada orang asal dan anak negeri.
Selain itu, beliau juga mahu mendesak penyelesaian terhadap isu berkaitan peserta Ladang Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod.
Dalam aspek perkhidmatan kesihatan pula, Mohina bertekad mendesak pembinaan klinik desa baharu serta menaik taraf klinik sedia ada, selain memperbanyak program jangkauan pemeriksaan dan kesedaran kesihatan.
Pemerkasaan ekonomi turut diberi tumpuan melalui pelbagai inisiatif termasuk pembangunan tanah pertanian untuk tanaman hiliran dan fertigasi, pengagihan benih kelapa sawit percuma, pemerkasaan program keusahawanan, serta pembinaan bengkel dan pusat kraftangan.
Dalam masa sama, beliau juga mahu meneruskan rancangan pembangunan sedia ada, selain menyediakan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan yang berpotensi sebagai destinasi tarikan pelancong.
Bagi meningkatkan kualiti pendidikan, Mohina mahu menyediakan sokongan berterusan kepada sekolah, pelajar, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) antaranya melalui insentif pelajar cemerlang, tuisyen Bahasa Inggeris dan Matematik percuma, selain bantuan makanan atau keperluan persekolahan lain.
Sebagai sokongan kepada belia, beliau merancang pembinaan baharu atau penaiktarafan kemudahan sukan, pemberian insentif kepada belia cemerlang, serta program kemahiran dan keusahawanan termasuk desakan pembinaan sekurang-kurangnya satu pusat latihan kemahiran (TVET) di Kuamut.
Dari segi kebajikan rakyat, tumpuan diberikan tehadap bantuan kepada golongan kurang berkemampuan dan kumpulan terpinggir, selain memastikan keselamatan serta perlindungan kanak-kanak terpelihara.
Sementara itu, bagi mengiktiraf peranan wanita dalam masyarakat Mohina mahu memperkasa penglibatan golongan berkenaan dalam Mahkamah Anak Negeri atau sebagai pemimpin adat.
Dalam masa sama, Mohina turut merancang program bantuan serta sokongan kepada semua rumah ibadat tanpa mengira agama, selaras dengan usaha mengekalkan keharmonian antara kaum di Kuamut.
“Ini adalah manifesto yang lahir daripada suara rakyat Kuamut sendiri, berasaskan harapan, masalah serta cadangan yang disampaikan. Semoga manifesto ini menjadi panduan untuk kita membina Kuamut yang lebih baik,” katanya.
Mohina berdepan saingan lapan penjuru bagi kerusi Kuamut menentang Ted Kelvin Sudin (PIS), Masiung Banah (GRS), John Sungkiang (PPRS), Norfaizah Chua @ Giak Kiang (Warisan), Duin Daud Tarang (Bebas), Abu Bakar Ellah (KDM) dan Jevronnie Mandek (STAR).


















Comments