MUIS agih RM170 juta zakat kepada asnaf di Sabah sepanjang 2025
- nabalunews
- 16 minutes ago
- 2 min read

14 Mac 2026
KOTA KINABALU: Sebanyak RM170 juta zakat telah diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada golongan asnaf di seluruh negeri sepanjang tahun lalu sebagai usaha berterusan meringankan beban kewangan penerima yang memerlukan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, agihan berkenaan merangkumi pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan, kebajikan dan program pembangunan bagi memastikan kebajikan golongan asnaf terus terpelihara.
Menurut beliau, sumbangan zakat daripada sektor korporat amat penting bagi memperkukuh dana zakat yang seterusnya disalurkan kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negeri.

“Sehubungan itu, saya menggalakkan lebih banyak syarikat termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta syarikat perniagaan untuk tampil menunaikan tanggungjawab dengan menyalurkan zakat perniagaan melalui MUIS,” katanya selepas menghadiri Majlis Iftar MUIS di sini, Jumaat.
Pada majlis itu, MUIS turut menerima pembayaran zakat berjumlah lebih RM1.3 juta daripada 10 pembayar zakat korporat.
Ia antaranya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), TM Technology Services Sdn Bhd, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia Berhad dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
Dalam pada itu, Arifin memaklumkan MUIS akan mempergiat usaha pembinaan rumah untuk golongan asnaf sebagai langkah memperkukuh kebajikan masyarakat Islam yang memerlukan di Sabah.
“Setiap penerima bantuan akan melalui proses penilaian dan pemeriksaan pihak MUIS bagi memastikan bantuan disalurkan kepada individu atau keluarga yang benar-benar layak serta memerlukan.
“Rumah yang dibina menerusi program ini akan dikenali sebagai Baitul Asnaf, iaitu kediaman khas yang disediakan kepada golongan asnaf yang layak,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif pembinaan Baitul Asnaf telah dilaksanakan sebelum ini dan beberapa buah rumah berjaya disiapkan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan memiliki kediaman yang lebih selesa.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Isnin Aliasnih, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin serta Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.











