top of page

AGM Wanita UPKO Kota Belud: Saniah Tuak Kekal Ketua, Enam AJK Baharu Dipilih

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 19 Jun — Datin Saniah Tuak kekal menerajui Pergerakan Wanita UPKO Bahagian Kota Belud untuk sesi 2026-2029 selepas Mesyuarat Agung Tri-Tahunan yang berlangsung pada 17 Jun lalu di Dewan Gopog Taginambur, Kota Belud.


Keputusan pemilihan yang turut melibatkan pembubaran jawatankuasa lama diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UPKO Kota Belud, Datuk Jaintin Molondoi. Serentak itu, enam Ahli Jawatankuasa baharu diperkenalkan iaitu Shainim Epin, Amilda Taising, Lela Mungkim, Juliah Anggau, Doinim Potin dan Julin Mintu.


Saniah memaklumkan pelantikan jawatankuasa lain akan diumumkan selepas mesyuarat pertama pergerakan Wanita bagi sesi baharu itu diadakan dalam masa terdekat.


Dalam ucapannya, Saniah mengucapkan terima kasih kepada semua Ketua Wanita cawangan UPKO Kota Belud atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar akan meneruskan perancangan sedia ada dengan pelbagai penambahbaikan demi kepentingan rakyat di Kota Belud.


Beliau mengalu-alukan kemasukan barisan kepimpinan baharu yang lebih muda bagi memastikan Wanita UPKO Kota Belud kekal relevan dan berharap sesi 2026-2029 ini akan menyaksikan pergerakan Wanita lebih bertenaga dalam merealisasikan visi dan misi untuk kaum wanita di daerah itu.


Saniah turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud, atas sokongan padu sepanjang beliau mengetuai sayap Wanita.



Saniah menjelaskan, menerajui ekonomi komuniti akan menjadi fokus utama, dengan hasrat memodenkan sektor eko-pelancongan, pertanian dan kraf tangan di Kota Belud, di samping membimbing usahawan wanita tempatan menguasai ekonomi digital serta memperkukuh rantaian pendapatan keluarga luar bandar.


Beliau menegaskan Wanita UPKO akan kekal di barisan hadapan dalam memperjuangkan pendidikan kanak-kanak, kebajikan keluarga, serta kemudahan asas untuk masyarakat luar bandar.


Beliau juga menuntut agar peranan wanita diberikan peluang lebih luas untuk memimpin, merancang dan membuat keputusan di peringkat tertinggi.


Pergerakan Wanita UPKO Kota Belud sebelum ini terkenal dengan pendekatan keharmonian dan kebajikan masyarakat, termasuk program memperkasa wanita serta Program Sentuhan Kasih yang melibatkan lawatan dan penghantaran sumbangan ke kampung-kampung yang memerlukan serta kepada pesakit.


Turut hadir sebagai pemerhati ialah Exco Wanita UPKO Pusat, Norisa Mongintal, Lomiti Jahan dan Wong Ong Lin @Nicole.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page