• nabalunews

AGONG BOLEH PANGGIL PARLIMEN BERSIDANG SEMASA DARURAT - ZAHID IBRAHIM


Datuk Zaid Ibrahim

20 June 2021

Kerajaan PN bernasib baik kerana mereka masih lagi memerintah kerajaan, walaupun tidak menentu hala tuju. Mereka bernasib baik kerana Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah lembut dan sabar orangnya. Dalam masa darurat (dan di mana Parlimen tidak bersidang) Ordinan Darurat yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Baginda boleh panggil Parlimen bersidang esok atau lusa. Baginda boleh pecat Perdana Menteri dan baginda boleh pecat Speaker dan sebagainya. Itulah luasnya kuasa YDPA semasa darurat. Prinsip Raja Berperlembagaan di mana YDPA mesti mengikut nasihat Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan itu tidak boleh digunapakai semasa darurat kerana Seksyen 14 Ordinan Darurat memberi kuasa penuh kepada YDPA, dalam segala hal demi menyelesaikan masalah negara. Ordinan Darurat memberi kuasa kepada YDPA untuk melakukan apa saja walaupun bercanggah dengan prinsip dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan selagi Parlimen tidak bersidang untuk mengubah ordinan tersebut. Perdana Menteri (dan penasihat beliau) mungkin merasakan, jika mereka memberi kuasa penuh kepada YDPA melalui Ordinan Darurat, mereka boleh mengambil kesempatan berselindung di belakang kuasa YDPA. Mereka akan berkata, “YDPA mesti ikut nasihat kami”, kerana itulah lazimnya prinsip Raja Berperlembagaan. Mereka tidak menyangka prinsip biasa tidak laku dalam masa darurat. YDPA dan Raja-Raja Melayu juga ada pendirian sendiri dan tidak mahu jadi pak turut. Mereka salah perkiraan mengenai undang-undang darurat yang mereka sendiri gubal. Ordinan Darurat yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada YDPA. Jadi, isu baginda perlu mengambil nasihat Perdana Menteri sebelum mengambil apa-apa tindakan itu tidak timbul. Kecuali Parlimen bersidang dan mengubah Perkara 14 Ordinan Darurat sekarang. PM kita “wants the cake and eat it”, kata orang Inggeris. Beliau mahu darurat yang memberi kuasa mutlak kepada YDPA dengan harapan nasihat beliau sentiasa diikuti oleh baginda. Itulah sebab orang tua-tua bercerita, “pandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah”. Krisis yang ada sekatan boleh diselesai dengan mudah. YDPA boleh memanggil Perdana Menteri mengadap dan memberitahu beliau jawatannya sebagai Perdana Menteri akan gugur pada 1 Julai 2021. YDPA juga boleh namakan penggantinya dengan serta merta. YDPA juga boleh arahkan Parlimen bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika itulah yang difikirkan terbaik. Notis 28 hari untuk Parlimen bersidang tidak perlu diikuti kerana kita dalam darurat dan segala keputusan YDPA adalah sah semasa darurat, termasuk isu notis mesyuarat dan ianya tidak boleh dicabar.


Datuk Zaid Ibrahim

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang)