AGONG TERIMA BAIK CADANGAN UPKO: MADIUS
14 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata Yang di-Pertuan Agong menerima baik cadangan dan menyatakan sembilan perkara yang disampaikan adalah pandangan bernas.
Madius menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melalui Video Conferencing (VC), jam 2.30 petang, hari ini.
“UPKO adalah parti ke-13 yang diminta menghadap Agong dan antara parti yang menghadap secara VC.
“Sembilan perkara yang saya kemukakan secara lisan itu kita akan sampaikan melalui surat kepada Tuanku secara email,” katanya pada sidang media melalui zoom, selepas VC bersama Agong, hari ini.
Madius berkata, perkara utama yang dikemukakan kepada Agong ialah Darurat perlu ditamatkan segera.
“Saya telah nyatakan bahawa ketika Darurat pada 12 Jan lalu, kes sehari hanya lebih kurang 2,000 setelah lima bulan puratanya lebih kurang 5,000 dan kes tertinggi sehari pernah melonjak sehingga 9,000 kes Covid.
“Ini bererti pelaksanaan Darurat gagal menangani Covid-19, sebab itu tidak ada beza sama ada, ada Darurat atau tiada untuk menangani Covid.
“Darurat tidak memberi nilai tambah kepada kerajaan menangani Covid. Sebab itu UPKO minta supaya Darurat ditamatkan dengan segera tanpa menunggu sehingga 1 Ogos,” katanya.
Madius berkata, selepas Darurat ditamatkan, Parlimen perlu dibuka semula dan kembali bersidang.
“Setelah darurat ditamatkan maka Parlimen dan semua badan perundangan negeri hendaklah dibuka dan bersidang semula seperti sedia kala.
“Bagi UPKO, Parlimen sangat penting kerana ia akan menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan tidak lagi merasai denyut nadi rakyat ketika ini, tetapi apabila Parlimen dan DUN dibenarkan bersidang, melalui perbahasan dan pelbagai pertanyaan yang ditanya wakil rakyat maka ada perhubungan antara rakyat dan kerajaan,” jelas beliau.
Comments