Agong titah ketua, gabungan parti kemuka nama calon Perdana Menteri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Agong titah ketua, gabungan parti kemuka nama calon Perdana Menteri

Sumber gambar: Facebook Istana Negara

20 November 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umm ke-15 (PRU15), yang telah berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato' Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.


Sehubungan itu katanya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan yang telah dipersetujui bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.


“Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2.00 petang, pada Isnin, 21 November 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, ia selaras dengan Perkara 40(2) (a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.


“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.


“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.


“Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang

bentuk bencana dan musibah,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page