Penganggur dipenjara 18 bulan kerana memandu tanpa kecermatan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

14 Mei 2025
TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia yang didakwa memandu tanpa kecermatan sehingga mengakibatkan satu daripada tiga remaja perempuan yang dibawanya parah, dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Tertuduh, Zulfikar Zul Akmat, 22, yang berdepan tiga pertuduhan, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mengaku bersalah bagi semua tiga kesalahan trafik yang dilakukannya di simpang Jalan Mawar, jam 5 dan 5.53 pagi pada 19 Januari lalu.
Tertuduh yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan masuk ke negara ini tanpa dokumen, dihukum penjara 12 bulan kerana memandu tanpa kecermatan dan masing-masing penjara tiga bulan kerana memandu tanpa lesen dan memandu kenderaan tidak diliputi insuran.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87), Seksyen 26 (1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan Seksyen 90 (1) akta yang sama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh supaya menjalani kesemua hukumannya secara berasingan dengan kesalahan imigresen dan turut diarah rujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai hukuman.
Mengikut fakta kes, tertuduh bersama tiga penumpang remaja perempuan terlibat kemalangan selepas kereta jenis Proton Gen2 dipandu oleh Zulfikar dipercayai laju semasa dalam perjalanan balik dari sebuah pub di bandar Tawau menuju ke Kg Hilltop.
Mereka dihantar ke Hospital Tawau oleh pihak Bomba untuk mendapatkan rawatan, namun, tertuduh bertindak melarikan diri selepas meminta izin untuk ke tandas semasa sedang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan.
Tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap di Kampung Vietnam, Tanjung Batu pada jam 7 malam, susulan laporan polis dibuat penolong pegawai perubatan pada jam 2.01 petang, hari yang sama.
Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Pendakwaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, menjalankan pendakwaan, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.
Comments