Tarikh Akhir Kemuka e-Borang Tahun Taksiran 2024 Esok - LHDN
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

14 Mei 2025
KOTA KINABALU: Tarikh akhir untuk mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2024 secara e-filing bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan berakhir esok.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia meliputi pembayar cukai kategori individu pemastautin merangkumi pekerja berpengetahuan, berkepakaran, bukan warganegara memegang jawatan utama dan individu bukan pemastautin.
Selain itu, kategori lain membabitkan individu bukan pemastautin (pekerja berpengetahuan), pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu Hindu.
“Semua pembayar cukai diingatkan supaya tidak bertangguh dan bertanggungjawab untuk melaporkan pendapatan yang diterima dengan tepat melalui e-Borang serta membuat bayaran cukai sekiranya ada dalam tempoh ditetapkan.
“Ia bagi mengelakkan sebarang tindakan penalti lewat mengemukakan borang cukai pendapatan, kenaikan cukai dan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai supaya mengisi maklumat diri dan perbankan yang lengkap serta terkini bagi memastikan kelancaran proses bayaran balik cukai.
LHDN menegaskan, kegagalan mengemukakan BN dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Menurut Seksyen 112(1) ACP, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan tidak memaklumkan layak dikenakan cukai akan dikenakan denda RM200 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
“Manakala kesalahan membayar cukai selepas tempoh dibenarkan akan dikenakan kenaikan cukai 10 peratus daripada cukai kena bayar mengikut Seksyen 103(3) ACP,” katanya.
Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata secara e-Filing menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.
Comments