• Farah Salim

Agong zahir rasa kecewa tapi tiada pilihan, selain perkenan bubar Parlimen

10 Oktober 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan tiada pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.


Dalam kenyataan media hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda memperhalusi permintaan membubarkan Parlimen itu selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara, semalam.


Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pada jam 12.00 tengah hari itu, YAB Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bag pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022.


“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2) (b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14.


“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik

semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilin kerajaan yang stabil.


“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Ahmad Fadil menyatakan bahawa, Seri Paduka Baginda menegaskan negara yang kukuh penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.


“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya.


Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.


Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang tadi, selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.