Ahli-ahli Parlimen PKR persoal pelantikan terbaru anggota Suruhanjaya Kehakiman
9 September 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan pelantikan terbaru anggota Suruhanjaya Kehakiman.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ahli-ahli Parlimen PKR, pelantikan tiga muka baru sebagai anggota Suruhanjaya Kehakiman seperti yang diumumkan Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Kehakiman pada 5 September lalu amat mengejutkan dan mengecewakan.
“Kami secara terbuka mengkritik pelantikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri kerana nama-nama seperti bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif pernah mencetuskan kontroversi dalam bidang kehakiman kerana dilantik ke jawatan itu pada 4 April 2017 untuk dua tahun lagi yang mana beliau pada ketika itu berusia kira-kira 65 tahun hampir mencecah usia bersara wajib.
“Kami juga turut mengkritik pelantikan seorang penganalis politik tempatan yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi sebagai anggota Suruhanjaya Kehakiman Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.
“Dr. Shamrahayu sebagai seorang ahli akademik sering mengulas isu-isu dalam negara dimana kenyataan beliau sebenarnya lebih kepada menjadi jurucakap parti-parti politik yang pro kerajaan seperti UMNO, Bersatu dan juga PAS.
“Pakar-pakar perlembagaan dan juga badan-badan peguam kerapkali menyanggah kenyataan beliau yang dilihat sering cuba memanipulasikan fakta perlembagaan menurut kecenderungan beliau kepada parti-parti politik ini,” kata kenyatan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia belum lagi reda dengan kontroversi bekas Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam ucapan beliau kepada ribuan ahli UMNO yang menyindir Ismail Sabri supaya menukar Peguam Negara agar lebih lunak kepada kehendak parti UMNO.
“Kini timbul pula isu kontroversi dan persoalan apakah pelantikan anggota Suruhanjaya Kehakiman oleh Perdana Menteri ini kerana Ismail Sabri tidak mampu melawan kehendak orang-orang tertentu di dalam UMNO yang mempunyai kepentingan tertentu?,” soal Ahli-ahli Parlimen PKR.
Pada 5 September lalu, perdana menteri melantik tiga individu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun.
Turut dilantik ialah bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Abdul Razak Tready, dan Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
“Kebebasan Badan Kehakiman adalah perkara yang sangat penting dan tuntas dalam sistem kehakiman dan perundangan dalam sesebuah negara.
“Malaysia sekurang-kurangnya haruslah dilihat oleh masyarakat antarabangsa dan rakyat khususnya sebagai cuba sedaya-upaya untuk mendokong prinsip kedaulatan undang-undang.
“Bagi menjamin kebebasan badan kehakiman di Malaysia setelah sekian lamanya terlihat sebagai sebuah badan yang sering terpalit dengan isu kontroversi dan campur tangan pihak eksekutif maka kompetensi dan keperibadian hakim-hakim adalah isu yang sangat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman,” kata kenyataan itu.
Dalam hal ini katanya, adalah tanggungjawab Suruhanjaya Kehakiman memilih tanpa tekanan atau arahan mana-mana pihak bagi mengesyorkan calon-calon yang berkaliber untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Atasan.
“Berpegang teguh kepada prinsip menolak segala bentuk campurtangan dari mana-mana pihak, PH menjamin bahawa jika rakyat mengembalikan mandat kepada PH, kami akan pastikan lantikan penting seperti ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan dibentang dan dilulus melalui satu proses di Parliamen supaya proses itu akan dijadikan lebih telus,” kata kenyataan itu.
Comments