top of page

Kerajaan tambah kategori barangan SARA

  • nabalunews
  • May 1
  • 2 min read


ree

1 Mei 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk untuk menambah kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) susulan permintaan meluas penerima.


Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, program SARA ditambah baik melalui peluasan barangan asas yang dibenarkan iaitu meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci untuk pakaian, pinggan mangkuk dan lantai mulai hari ini.


Dengan peluasan itu, katanya, kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14, merangkumi pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.


ree

“Kerajaan Madani sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela. Peluasan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA ini adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima.


“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan, hari ini.


Menurut MOF, sepanjang April tahun ini, lebih 3.9 juta penerima SARA telah mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas daripada kedai yang berdaftar dengan SARA.


“Ini merupakan sambutan yang menggalakkan apabila 72 peratus daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula untuk berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA,” katanya.


Manakala, katanya, bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar di bawah SARA mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 buah pada tahun 2024 dan bilangan kedai runcit akan terus ditambah bagi kemudahan penerima.


MOF berkata, dari segi prestasi pelaksanaan SARA hingga 29 April 2025, peratus tertinggi penerima yang membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus, diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus).


Kadar maksimum SARA yang diterima adalah hingga RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada tahun 2024.


"Ia meningkat sebanyak 75 peratus daripada yang diterima pada tahun lepas. Pembelian SARA boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar atau kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya sehingga 31 Disember 2025," katanya.


Orang ramai boleh membuat semakan status kelayakan SARA di Portal Rasmi STR, https://bantuantunal.hasil.gov.mx manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk dihttps://www.mykasih.com.my.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page