top of page

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Sokong Daya Usaha Baharu Ke Arah Keamanan Di Gaza

  • nabalunews
  • Oct 9
  • 1 min read

ree

9 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kaukus Parlimen Malaysia bagi Palestin menyambut baik penerimaan Hamas terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai satu langkah positif ke arah mencapai gencatan senjata menyeluruh di Gaza.


Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata perjanjian yang dicadangkan itu merupakan fasa pertama pelan gencatan senjata, yang merangkumi penarikan balik pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan antara pihak terlibat.


“Langkah-langkah ini amat penting bagi memulihkan kestabilan dan meringankan penderitaan rakyat Palestin yang sekian lama menjadi mangsa konflik,” katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa pendirian Kaukus selaras dengan pandanganPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melihat perkembangan ini sebagai peluang penting untuk menamatkan keganasan, penderitaan dan ketidakadilan yang dialami rakyat Palestin, serta mengorak langkah ke arah keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.


“Kaukus menegaskan sokongan konsisten Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri dan keadilan. Kami turut memuji komitmen diplomatik berterusan Kerajaan Malaysia terhadap perjuangan ini,” jelas beliau lagi.


Dalam pada itu, Kaukus menyeru agar Kerajaan Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam semua usaha antarabangsa dan serantau bagi mencapai penyelesaian yang adil dan segera terhadap konflik tersebut.


“Kami juga menyeru kedua-dua pihak, khususnya Israel, agar tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menggugat proses damai atau memanjangkan penderitaan orang awam,” tegas Syed Ibrahim.


Beliau menegaskan bahawa seluruh Ahli Parlimen Malaysia berdiri teguh bersama semua usaha yang menjunjung prinsip keamanan, keadilan dan kemanusiaan, serta menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung dan hak sah rakyat Palestin.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page