SKBBK perkukuh perlindungan sosial pekerja, kurangkan beban kewangan kesihatan awam
- nabalunews
- Oct 9
- 2 min read

9 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang bakal diperkenalkan kerajaan bukan sahaja akan memperkukuh jaringan perlindungan sosial kepada pekerja, malah mengurangkan beban kewangan sistem kesihatan awam negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata skim yang akan ditadbir Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja yang layak, termasuk bagi kemalangan di luar waktu kerja yang tidak berkait dengan pekerjaan.
Katanya, berdasarkan statistik PERKESO dari 2018 hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 538,000 kes permohonan tuntutan kemalangan pekerja telah diteima dan daripada jumlah itu, hampir 27,000 kes tuntutan ditolak.
“87 peratus kes ditolak adalah disebabkan kes-kes tersebut dikategorikan bukan bencana kerja, menyebabkan Orang Beinsuran (OB) dan orang Tanggungan (OT) tidak layak menerima sebarang faedah di bawah peruntukan Akta 4.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kewangan kepada pekerja dan keluarga, malah turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN – Tampin) yang ingin tahu perancangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi melaksanakan pelindungan keselamatan sosial 24 jam sehari kepada semua pekerja termasuk pekerja gig, syif dan sambilan.
Menurut Sim, laporan audit baru-baru ini mendedahkan tunggakan bil perubatan setakat 31 Disember 2024 telah mencecah RM360 juta.
Justeru, katanya, bagi menangani cabaran itu, pelaksanaan SKBBK akan memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian termasuk perlindungan bagi kemalangan pada waktu kerja yang tidak berkait langsung dengan penggajian atau pekerjaan.
“Dengan pelaksanaan skim ini kelak, bayaran bil perubatan pencarum yang mengalami kemalangan bukan bencana kerja akan ditanggung oleh PERKESO,” ujarnya.
“Kita yakin langkah ini bukan sahaja akan mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga, tetapi juga beban kepada sistem kesihatan awam negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pekerja gig dan pekerja asing yang berdaftar di bawah Akta 4 PERKESO turut layak menikmati faedah di bawah SKBBK.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memberi perhatian kepada golongan suri rumah menerusi Skim Lindung Kasih Suri Rumah, yang menawarkan perlindungan 24 jam sehari sebagai pengiktirafan kepada sumbangan besar mereka terhadap pembangunan negara.


















Comments