top of page

Malaysia sambut baik pelan damai Gaza, gesa pelaksanaan disegerakan

  • nabalunews
  • Oct 9
  • 1 min read

ree

9 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik persetujuan yang dicapai antara Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) dan Israel bagi fasa pertama “Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza” yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Sharm El-Sheikh, Mesir, semalam.


Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini berkata, Malaysia merakamkan penghargaan kepada Trump atas kepimpinan dan usaha beliau ke arah menamatkan perang terhadap Gaza.


"Malaysia juga menghargai peranan penting Mesir, Qatar dan Turkiye serta negara-negara lain yang telah memudah cara pelaksanaan pelan komprehensif itu.


"Perkembangan ini adalah langkah penting ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan dan kebuluran di Gaza, pertukaran tawanan dan tahanan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, serta pembinaan semula dan penzahiran hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Gaza," katanya.


Pada masa sama, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam persetujuan fasa pertama pelan damai Gaza untuk melaksanakannya dengan segera dan sepenuhnya.


Selain itu, Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat serta masyarakat antarabangsa bagi memastikan keamanan berkekalan di Gaza serta wilayah Palestin yang diduduki dapat direalisasikan.


Malaysia juga menegaskan pendiriannya menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.


Terdahulu, Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan terhadap fasa pertama pelan damai yang bakal menyaksikan pengunduran tentera Israel serta pembebasan tebusan dan tahanan.


Dalam satu kenyataan di media sosial, Trump menyatakan kesemua tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat, manakala tentera Israel pula akan berundur ke sempadan yang telah dipersetuju sebagai langkah awal ke arah perdamaian yang berkekalan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page