• Wartawan Nabalu News

AHLI KWSP BOLEH MOHON i-CITRA MULAI 15 JULAI



28 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu i-Citra bagi membolehkan ahlinya membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran bagi meringankan beban kewangan mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


“Pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.


“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.


“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya.


Muhyiddin berkata, ini merupakan keputusan sukar kerana kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.