Ahli KWSP dinasihatkan jangan bergantung sepenuhnya pada simpanan, cari alternative selesai isu kewangan

31 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu memberikan lebih banyak jaminan kepada ahli dalam memastikan kelangsungan pendapatan persaraan mereka, sambil memenuhi keperluan hidup semasa.
Langkah ini dilihat penting dalam memastikan ahli mempunyai dana yang mencukupi apabila mencapai usia persaraan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menegaskan bahawa simpanan KWSP tidak seharusnya dianggap sebagai satu-satunya penyelesaian untuk masalah kewangan harian.
"Syarat pengeluaran Akaun Persaraan (Akaun 1) yang hanya boleh dikeluarkan selepas ahli mencapai umur 55 tahun perlu dikekalkan untuk memastikan ahli KWSP mempunyai dana mencukupi apabila bersara," katanya.
Beliau turut menyarankan agar rakyat Malaysia mencari jalan penyelesaian lain seperti menggunakan perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai alternatif untuk menguruskan kewangan mereka.
Kesedaran tentang bantuan kewangan yang tersedia seperti AKPK sangat penting agar ahli tidak hanya bergantung kepada dana KWSP semata-mata.
Menurut Afzanizam, peranan AKPK adalah sangat penting dalam membantu peminjam atau pelanggan bank mencapai persetujuan yang dapat memberikan kelegaan kewangan.
"Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang ditawarkan oleh AKPK, terutama dari segi kaunseling kewangan dan program pengurusan hutang."
Tambah beliau, simpanan yang kekal dalam akaun KWSP dan didarab dengan dividen tahunan akan bertambah dengan ketara dari masa ke masa, menjadikan KWSP sebagai instrumen pelaburan yang baik.
Langkah penstrukturan akaun yang dilaksanakan juga telah menaikkan nisbah bagi Akaun Persaraan kepada 75 peratus, yang seterusnya meningkatkan kecukupan simpanan untuk pendapatan persaraan yang lebih bermakna.
Melihat kepada sejarah data KWSP, kadar dividen yang diberikan selama ini adalah sangat tinggi, menjadikan KWSP sebagai salah satu instrumen pelaburan terbaik untuk memastikan kestabilan kewangan ahli apabila bersara.
Commenti