Ahli Majlis Daerah bertanggungjawab memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksana berpaksikan kepentingan rakyat: Ghani
- nabalunews
- May 27
- 2 min read

27 Mei 2025
KENINGAU: Ahli Majlis Daerah merupakan suara rakyat dan bertanggungjawab untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan secara adil, telus dan efisien serta sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, dasar-dasar kerajaan Negeri Sabah dibawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sedang giat dilaksanakan bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat di Negeri ini akan terus terbela bukan saja untuk masa kini tetapi kita juga perlu memandang untuk kesejahteraan generasi masa hadapan.
"Sebab itu fokus kita adalah untuk memastikan kerjasama erat semua pihak dalam pentadbiran kerajaan Negeri agar isu-isu atau keluhan rakyat akar umbi dapat diselesaikan dengan penuh tanggungjawab" katanya semasa berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Nabawan bagi tahun 2025 - 2027 di hotel Perkasa di sini pada Isnin.

Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), berharap agar barisan Ahli Majlis Daerah dapat memberikan idea-idea yang bernas, pandangan yang membina serta bekerjasama erat dengan pentadbiran Majlis Daerah Nabawan dalam merancang dan melaksanakan
pembangunan yang mampan serta inklusif.
"Harapan saya kepada semua Ahli Majlis Daerah bersatulah dengan rakyat akar umbi di daerah ini dan galaslah tanggungjawab dengan adil dan
saksama serta dahulukan kepentingan rakyat" katanya.
Beliau berkata, Daerah Nabawan perlukan pembangunan yang inklusif dan teratur selari dengan perancangan pembangunan
yang telah disusun supaya pembangunan yang dilakukan memberi manfaat jangka masa panjang untuk masyarakat di sini.
Terdahulu Pegawai Daerah Nabawan Marshal Anthony @ Idham berkata, peranan Ahli Majlis Daerah amat penting dalam pembangunan pekan dalam pelbagai aspek.
Katanya, Ahli Majlis Daerah juga boleh menyumbangkan idea berkaitan dengan pembangunan pekan bagi membantu pasukan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang program-program pembangunan dalam pekan.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Keningau Supritendan Yampil Anak Garai, wakil dari KKTP Faizun Jaafar, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Nabawan Hj. Mohd Saidi Hj. Mohd Ibrahim dan Ketua-Ketua Jabatan.
Comments