AHLI MAJLIS DAERAH, PBT, PERLU BERSAMA KERAJAAN JAYAKAN HALATUJU PELAN PEMBANGUNAN SABAHAHLI MAJLIS DAERAH, PBT, PERLU BERSAMA KERAJAAN JAYAKAN HALATUJU PELAN PEMBANGUNAN SABAH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

AHLI MAJLIS DAERAH, PBT, PERLU BERSAMA KERAJAAN JAYAKAN HALATUJU PELAN PEMBANGUNAN SABAH



29 DIS 2020


TUARAN: Kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM25.5 juta dalam Belanjawan 2021 Sabah untuk pelbagai kemudahan awam di 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini, bertujuan memberikan keselesaan kepada rakyat.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM4.0 juta untuk memacu dan memboleh daya pertumbuhan ekonomi pekan-pekan baharu.


Beliau berkata, untuk memperkukuhkan daya saing PBT dari segi modal pusingannya, katanya Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM36.53 juta caruman kepada kuasa-kuasa tempatan dalam belanjawan kerajaan pada tahun 2021.


“Saya berharap peruntukan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini, bagi memberi perkhidmatan dan prasarana terbaik kepada rakyat.


“Ahli Majlis yang baharu bersama PBT juga perlu bersama kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).



“Dalam hal ini, semua pihak yang terbabit perlu bersikap lebih peka dan proaktif dalam melaksanakan perancangan yang yang telah diputuskan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman.


Hajiji berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah dan Upacara Penyampaiam Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi tahun 2020-2022 di Grand Ballroom, Shangri-La’s Rasa Ria Resort & Spa, di sini, hari ini.


Beliau juga berharap semua ahli majlis bekerjasama sebagai satu pasukan dan bertanggungjawab memastikan apa juga perancangan serta aspirasi kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan.


Selain itu katanya, mereka juga perlu lebih proaktif terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.


“Ahli Majlis perlulah melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas bagi memudahkan mereka melaksanakan kewajipan dan merancang pembangunan.



“Ini kerana pelantikan seseorang ahli majlis itu bertujuan membantu pihak berkuasa tempatan dalam membuat dasar, merancang dan memantau pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT.


“Ahli majlis juga adalah barisan hadapan yang perlu memahami peranan dan fungsi, selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti awam,” tegasnya.


Dalam uşaha memberikan satu perubahan dalam pentadbiran dan pengurusan PBT, katanya tugasan ahli majlis bukan setakat mendapatkan atau menerima aduan rakyat, tetapi dalam masa sama perlu mengamalkan turun padang, agar lebih jelas dengan masalah dihadapi penduduk setempat.


Hajiji, yang juga Menteri Kewangan, turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Majlis Daerah Tuaran dalam menyediakan perkhidmatan dan prasarana awam yang kondusif untuk kesejahteraan rakyat di daerah itu, termasuk kepada pelancong yang singgah.


Ini kerana daerah Tuaran adalah antara laluan ke utara negeri Sabah, katanya, sambil menambah 20 ahli-ahli majlis yang baharu dilantik ini adalah pilihan yang terbaik dan gabungan pemikir yang cerdik dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu, yang pastinya mempunyai idea yang bernas ke arah memajukan Tuaran.


“Saya dimaklumkan ahli-ahli majlis baharu yang dilantik ini datangnya daripada pelbagai latar belakang antaranya bekas Penolong Pegawai Daerah, pesara RTM, pesara Jabatan Pendidikan Sabah, kontraktor dan juga ahli perniagaan.


“Kepelbagaian latar belakang ini amat bersesuaian dengan peranan mereka sebagai perantara di antara rakyat dan PBT seperti Majlis Daerah Tuaran,” katanya.


Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kewangan II merangkap ADUN Pantai Dalit, Tuan Jasnih Haji Daya, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajah Masnah Matsalleh dan Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Tuaran, Sofian Alfian Nair.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page