- Wartawan Nabalu News
Ahli Parlimen Umno harus mengundi batal Ordinan Darurat – Ahmad Zahid

25 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah membuat ketetapan supaya semua Ahli Parlimen Umno harus mengundi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya dalam sidang khas Parlimen esok.
“Bersempena Sidang Parlimen Khas yang akan bersidang pada 26 Julai (esok) sehingga 2 Ogos ini, Umno dengan ini membuat ketetapan supaya Ahli-Ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar Parlimen mesti membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.
“Ahli-ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ketetapan itu berpandukan kepada beberapa asas iaitu, penolakan rakyat yang Umno wakili terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat termasuklah kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat 'dwi-standard'.
“Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berParlimen.
“Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan.
“Memahami implikasi Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berjalan selama enam bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagaimana peruntukan 150 (3), sekaligus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaru 7 Julai 2021,” katanya.
Katanya lagi, keputusan itu juga dibuat sebagai mendokong dan mentaati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan tiada keperluan untuk Darurat diteruskan dan segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Zahid berkata, ia juga bagi memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka "Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan Menteri Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada Umno akan meletakkan jawatan".