• nabalunews

AHLI POLITIK SABAH DIREMAN 4 HARI DALAM SIASATAN CABUL


4 Jun 2021


KOTA KINABALU: Seorang ahli politik Sabah yang didakwa mencabul peserta Ratu Kaamatan atau lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau direman empat hari untuk membantu siasatan.

Permohonan reman itu, yang didengar Majistret Lovely Natasha Charles melalui persidangan maya hari ini, dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

Charles membenarkan permohonan itu atas alasan jika ahli politik itu yang juga ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dibebaskan, dia mungkin mengganggu saksi dan/atau pengadu kes berkenaan.

Peguam Marcel Jude mewakili ahli politik berusia 52 tahun, manakala Mohamed Anwar Mohamed Jamil mewakili pihak pendakwaan.


Ahli politik itu ditahan di pejabatnya di Asia City di sini, semalam selepas sidang media untuk menjawab tuduhan dia mencabul seorang peserta Unduk Ngadau dan menyerang seorang anggota Rela.

Sementara itu, Ketua Polis Sabah, Hazani Ghazali menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan kes gangguan seksual itu supaya tampil membantu siasatan.

Beliau turut menggesa individu lain yang mungkin menjadi mangsa gangguan sedemikian untuk tampil.

Setakat ini, katanya, polis hanya menerima satu laporan berhubung dakwaan salah laku seksual terhadap seorang peserta Unduk Ngadau.


“Jika ada laporan lain, sudah tentu kami akan siasat,” katanya. - FMT