AIM berperanan penting bantu kerajaan basmi kemiskinan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

AIM berperanan penting bantu kerajaan basmi kemiskinan - Ewon

19 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berperanan penting membantu kerajaan mencapai wawasan untuk membasmi kemiskinan di negara ini.


Beliau berkata, ini selaras dengan objektif AIM menyediakan pembiayaan kredit mikro kepada golongan berpendapatan rendah untuk mengusahakan pelbagai kegiatan ekonomi mereka.


“Antara keutamaan kerajaan perpaduan dalam Malaysia Madani yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini ialah untuk membasmi kemiskinan.

Ewon (depan) bergambar bersama para pegawai AIM sebelum sesi taklimat.

“Saya percaya AIM iaitu salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dapat memainkan peranan penting untuk mencapai wawasan ini melalui pelbagai program dan skim pembiayaan ikhtiar.


“Saya juga bangga dan terinspirasi dengan kejayaan-kejayaan para peniaga khususnya kaum ibu yang menerima pembiayaan daripada AIM. Ada diantara mereka yang hanya memulakan perniagaan kecil-kecilan kini mencapai kejayaan besar dalam perniagaan seterusnya keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja dan mendengar taklimat AIM, di Ibu Pejabat AIM, di sini, hari ini.

Ewon (dua dari kiri), diiringi oleh Zamri (kiri) dan Mohamed Shamir (dua kanan), ketika tiba di ibu pejabat AIM.

Taklimat itu disampaikan oleh Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz. Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kamdasami dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Haji Zamri Salleh.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang mahu kejayaan sahabat-sahabat AIM dikongsikan kepada masyarakat umum bagi memberikan motivasi dan semangat kepada kaum ibu untuk lebih bekerja keras mencapai kejayaan yang sama.


“AIM adalah antara agensi kerajaan di negara ini yang mencapai kejayaan besar mengeluarkan masyarakat daripada garis kemiskinan. AIM juga adalah penyelesaian terbaik kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi berhadapan masalah untuk membuat pinjaman,” katanya.

Mohamed Shamir

Sementara itu Mohamed Shamir berkata, AIM menyediakan lima skim pembiayaian iaitu i-Mesra, i-Srikandi, i-Wibawa, i-Sejahtera dan i-Bestari.


“Produk baharu AIM ialah skim pembiayaan ikhtiar (ekonomi) iaitu i-muda untuk peserta berumur antara 18 hingga 40 tahun dengan jumlah pembiayaan sehingga RM30,000. Tempoh pembiayaan dari tiga hingga 36 bulan mengikut jumlah pembiayaan. Ini untuk perniagaan yang terjejas, hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan golongan B50 juga layak memohon pembiayaan ini,” katanya.

bottom of page