top of page

AirBorneo ambil alih sepenuhnya operasi MASwings mulai 1 Januari 2026

  • nabalunews
  • 41 minutes ago
  • 2 min read

ree

22 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Peralihan operasi MASwings kepada AirBorneo akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, susulan kejayaan proses pemindahan pemilikan di bawah perjanjian jual beli (SPA) dimeterai Malaysia Aviation Group (MAG) dan kerajaan Sarawak pada 12 Februari 2025.


MAG dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bermula tarikh kuat kuasa itu, AirBorneo akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab perundangan dan operasi bagi semua perkhidmatan yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings.


“Ia termasuk operasi penerbangan, perkhidmatan pelanggan serta pengurusan semua hal berkaitan penumpang.


“Dalam fasa awal peralihan, penjenamaan MASwings mungkin masih kelihatan sementara AirBorneo melaksanakan pelaksanaan identiti korporat baharu secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.


Dalam pada itu, MAG merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran penumpang, rakan kerjasama serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan itu.


MAG turut menegaskan komitmennya untuk menyokong peralihan yang lancar serta mengiktiraf sumbangan besar MASwings dalam memperkukuh hubungan udara serantau dan luar bandar selama hampir dua dekad.


MASwings yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 merupakan syarikat penerbangan komuter khusus pertama di Malaysia Timur bagi memenuhi keperluan perjalanan udara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.


Sejak penubuhannya, MASwings memainkan peranan penting dalam penyediaan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), menghubungkan komuniti pedalaman dan terpencil dengan pusat bandar utama.


Perkhidmatan ini menyokong akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan, aktiviti komersial serta pelancongan, selain menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.


Sepanjang tempoh operasinya, MASwings mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang.


Syarikat penerbangan itu juga menjana lebih 300 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung merangkumi operasi penerbangan, kejuruteraan, kru kabin, pengendalian darat serta perkhidmatan sokongan penting.


Sebagai anak syarikat MAG, MASwings turut memperkukuh ekosistem penerbangan kumpulan melalui peningkatan hubungan dengan Malaysia Airlines dan Firefly, sekali gus memperbaiki akses domestik dan antarabangsa bagi penumpang di Malaysia Timur dan seterusnya.


MAG menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan udara serantau bagi Sarawak dan komuniti yang lebih luas.


Untuk maklumat lanjut berkaitan tempahan, penerbangan atau perkhidmatan pelanggan mulai 1 Januari 2026, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi pusat panggilan AirBorneo di 1-300-22-1388 (bebas tol tempatan) atau +60 82-537 555 bagi panggilan antarabangsa.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page