Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak sesuai di SabahAkta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak sesuai di Sabah
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak sesuai di Sabah


9 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak sesuai dilaksanakan khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai penganut agama Kristian atau bukan muslim yang ramai.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor

Katanya, Sabah juga menyatakan tidak, atas cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, sebagai salah satu daripada empat undang-undang syariah baharu yang akan diperkenalkan.


“Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama.


“Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, kita saling menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah,” katanya.


Sementara itu seorang usahawan dari Tuaran Beatrice Jones menyokong kenyataan Ketua Menteri Sabah.


“Ia bertentangan dengan prinsip MA63 yang antara memberi jaminan kepada penganut bukan muslim untuk mengerjakan atau mengembangkan agama mereka.


“Dalam perjanjian MA63, penganut agama Islam perlu menghormati sensitiviti agama lain bagi menjaga keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya kepada Nabalu News.


Beatrice berkata, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam juga bertentangan dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

Steve Johnny Mositun

Sementara itu Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) juga berpendapat penggubalan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam perlu mengambil kira sensitiviti agama lain di negara ini.


Pengerusinya, Steve Johnny Mositun berpandangan kerajaan tidak seharusnya “memulakan isu baharu, terutama dalam keadaan semasa.”


“Lebih baik sekiranya kerajaan sekarang berfikir cara untuk mengekalkan keharmonian Keluarga Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, dilaporkan sebagai berkata pada, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah antara empat akta baharu yang digubal untuk memperkasa perundangan syariah.


Marzuk dipetik sebagai berkata, RUU bersabit pengembangan agama bukan Islam itu adalah sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah selama lima tahun (2020-2025).


Dalam pelan pemerkasaan ini, katanya, kerajaan bercadang menggubal 11 undang-undang Syarikah utama – termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, dan lapan undang-undang Syariah subsidiari.


Steve bertegas menyatakan selama ini, penduduk Malaysia, khususnya di Sabah boleh hidup harmoni tanpa mengira agama.


“Dalam kebanyakan keluarga di Sabah, tidak menghairankan jika ada ahli keluarga yang tinggal sebumbung walaupun berbeza agama…dan ini tidak menjadi masalah bagi kami di Sabah.


“Kita sedar agama Islam adalah agama Persekutuan dan mereka harus memartabatkannya, namun langkah drastik seperti ini bukanlah sesuatu yang bijak pada masa ini.


“Ini adalah isu sensitif, terutama bagi kami di Sabah yang sudah hidup dalam harmoni dengan perpaduan yang kuat dan pengamalan kebebasan beragama.


“Saya rasakan jiran kami di Sarawak juga sependapat dengan kami.


“Perlu diingatkan, Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi yang membentuk Malaysia dan hal berkaitan kebebasan beragama adalah salah satu perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan telah dipersetujui,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page