Akta Lompat Parti diharap kembalikan kestabilan politik Sabah: Nelson
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Akta Lompat Parti diharap kembalikan kestabilan politik Sabah: Nelson


30 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA PENYU: Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nelson W.Angang berkata, Akta Lompat Parti yang diluluskan baru-baru ini merupakan satu perubahan positif terhadap situasi politik negeri dan negara bagi menghalang wakil rakyat yang menang “melompat”.


“Selepas ini tiada lagi YB-YB yang melompat apabila mereka menang kerana mereka boleh dipecat jika berbuat demikian.


“Tindakan sesetengah YB yang melompat ke parti lain sebelum ini menyebabkan ketidakstabilan politik. Saya berharap dengan adanya Akta Lompat Parti akan menstabilkan keadaan politik negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Beaufort di Dewan Serbaguna Aki Sananak Kampung Bundu Tarah Kuala Penyu itu, di sini, hari ini.

Meayuarat itu dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau.


Turut hadir, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin, Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, ahli-ahli majlis tertinggi dan para pemimpin UPKO.


Nelson yang juga Setiausaha Agung UPKO berharap peratusan keluar mengundi terutamanya pengundi muda pada pilihan raya akan datang akan meningkat.


“Peratusan keluar mengundi pada pilihan raya lalu sangat rendah kerana pengundi marah dan bosan dengan tindakan sesetengah wakil rakyat yang mereka undi akan melompat selepas menang.


“Dengan adanya Anti Lompat ini semua wakil rakyat yang menang tidak boleh lagi mengkhianati undi rakyat,” katanya.


Nelson berkata, pada pilihanraya lalu jumlah pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan DUN Klias masing-masing lebih 16,000 orang kini meningkat melebihi 21,000 orang apabila undi18 dilaksanakan.


“Ini bermaksud jumlah pengundi bagi Parlimen Beauforr kini mencecah lebih 40,000 pengundi iaitu peningkatan 40 peratus daripada kalangan pengundi baru 18 tahun ke atas,” katanya.


Sehubungan itu beliau menyeru para pengundi muda berumur 18 tahun ke atas supaya keluar mengundi dan membuat pilihan bijak pada pilihan raya akan datang.

bottom of page