Aktivis gesa kerajaan pertahan autonomi imigresen Sabah
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

26 April 2026
TUARAN: Kerajaan Sabah digesa mempertahankan autonomi imigresen sedia ada susulan cadangan pindaan Akta 830 yang dilihat bakal memindahkan kuasa kawalan sempadan negeri kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Aktivis sosial, Jaesman Gipin berkata, cadangan pengambilalihan fungsi kemasukan sempadan oleh agensi persekutuan itu menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi menjejaskan hak serta menghakis kuasa autonomi Jabatan Imigresen Sabah.
Menurutnya, langkah berkenaan juga boleh memberi kesan terhadap bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 16 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia khususnya merujuk kepada Perkara 161E (4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 64 dan 65, Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63.
“Isu ini bukan perkara kecil kerana melibatkan kedaulatan negeri. Justeru, Kerajaan Negeri perlu mempertahankan kawalan sempadan sedia ada dan menolak sebarang usaha untuk meletakkannya di bawah AKPS,” katanya dalam satu kenyataan.
Jaesman yang juga bekas pegawai imigresen menegaskan bahawa autonomi imigresen Sabah merupakan mandat sejak 1963 dan bukannya satu keistimewaan, sebaliknya hak yang dijamin oleh undang-undang.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh melupakan asas perundangan yang melindungi kuasa imigresen Sabah, termasuk tiga dokumen utama yang perlu difahami rakyat.
Katanya, ia termasuk Perenggan 16 Laporan IGC 1962 yang secara jelas merekodkan persetujuan bahawa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak kekal di bawah bidang kuasa negeri.
“Tujuannya adalah untuk melindungi Sabah daripada kemasukan besar-besaran dari Semenanjung Malaysia yang dilihat boleh mengubah komposisi demografi serta membebankan ekonomi negeri.
“Ini merupakan janji bertulis sebelum pembentukan Malaysia dan menjadi antara sebab utama Sabah bersetuju menyertai Persekutuan. Penyerahan kawalan kepada AKPS seolah-olah mengkhianati semangat IGC,” katanya.











