top of page

Lelaki Cabul 'Cashier' Pasar Raya Ditahan

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

26 April 2026


TAWAU: Seorang pekerja pasaraya wanita berdepan detik cemas apabila dicabul seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di pusat bandar daerah ini, semalam.


Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, wanita berusia 20 tahun terbabit mendakwa didatangi pelanggan lelaki sebelum tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, mangsa yang bekerja sebagai juruwang didatangi suspek dengan berpura-pura bertanyakan tempat penyimpanan barangan.


“Suspek meminta mangsa menunjukkan lokasi barangan sebelum wanita itu mengikutnya ke bahagian rak sabun.


“Bagaimanapun, ketika mangsa beredar kembali ke kaunter, suspek secara tiba-tiba bertindak menarik dan memeluk mangsa sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya.


“Suspek kemudian bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyatan media, hari ini.


Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu segera tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.


Jasmin berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Tawau, menjalankan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut, Tawau.


“Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.


“Turut dirampas beberapa pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.


Menurutnya, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan sebarang kejadian jenayah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page