top of page

AMARAN CUACA WASPADA, HUJAN LEBAT DI BEBERAPA KAWASAN DI SABAH HINGGA ISNIN

  • nabalunews
  • Dec 19, 2020
  • 1 min read

19 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang berkuat kuasa sehingga esok sementara beberapa tempat di Sabah pula berkuat kuasa sehingga Isnin ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam satu kenyataan hari ini berkata amaran peringkat kuning di Terengganu itu melibatkan kawasan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman sementara di Pahang pula ialah di Kuantan.

Amaran cuaca peringkat kuning sehingga Isnin ini di Sabah merangkumi Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan.

“Dalam tempoh tersebut, tiupan angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah," katanya.

Dalam tempoh berkenaan, katanya ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang juga dijangka berlaku di kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor .

Turut dijangka mengalami keadaan cuaca yang sama ialah pedalaman Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, dan Bera) serta barat Sabah dan barat Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Jailan turut memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam, dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Sabah, dalam tempoh berkenaan.

“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.

"Selain itu, Lekukan Tropika berada di kedudukan 8.9 darjah Utara dan 120.6 darjah Timur dijangka bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15km/j. Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Sabah," katanya.

- Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page