Perdana Menteri Anwar Ibrahim Rasmi Majlis Penutupan PMR 2025 Sabah di Tawau
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

11 Mei 2025
TAWAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Dalam program tersebut, Perdana Menteri turut dijangka menyempurnakan beberapa acara utama termasuk Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah, serta Pelancaran Program Solar MADANI. Program ini berlangsung selama tiga hari bermula pada hari Jumaat lepas.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Kedua-dua pemimpin dijadualkan meninjau sendiri perkhidmatan yang ditawarkan di reruai agensi-agensi dan jabatan kerajaan yang menyertai PMR.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turut mengiringi tetamu kehormat dalam kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab menerajui PMR 2025 Sabah yang bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”.
Perdana Menteri dijadual meninggalkan majlis pada jam 4 petang.
Pelbagai aktiviti menarik turut menanti pengunjung pada hari terakhir PMR 2025 Sabah, antaranya Seminar Usahawan MADANI Dropship dan Ejen, serta sesi pocket talk bertajuk "Anda Jimat Poket Selamat dan Keselamatan Dalam Talian".
Turut diadakan persembahan kebudayaan oleh Persatuan Etnik Tawau, pertandingan akhir karaoke, dan cabutan bertuah untuk para pengunjung program.-BERNAMA