• Wartawan Nabalu News

Amaran keras kepada pengusaha perniagaan beroperasi melebihi masa


12 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Masih terdapat premis di daerah Penampang tidak mematuhi masa operasi yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Sehubungan itu Pegawai Daerah Penampang Francis Chong berkata, tindakan serius akan diambil terhadap pengusaha perniagaan yang melanggar SOP.


“Restoran atau mana-mana perniagaan lain hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 pagi. Kita akan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar waktu operasi.


“Jika mereka didapati mengulangi kesalahan yang sama, kami akan mengambil tindakan drastik dengan menggantung lesen mereka,” katanya.


Francis berkata, amaran itu dikeluarkan susulan kematian seorang lelaki yang ditikam di sebuah pusat hiburan di Penampang minggu lalu.


Katanya, dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular menunjukkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi, jelas melanggar masa yang dibenarkan untuk premis itu beroperasi.


“Saya berharap orang ramai turut memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat yang sahih kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana premis yang didapati beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan.


“Orang awam boleh melaporkan perkara itu melalui sosial media dengan memberikan maklumat beserta gambar,” katanya.


Francis berkata, sejak PPN Fasa Empat dikuatkuasakan, sebanyak 86 kompaun bernilai RM167,000 telah dikeluarkan di kawasan Penampang.


“Daripada 86 kompaun itu, hanya tujuh kompaun dikeluarkan kepada premis yang beroperasi melepasi had masa. Setakat ini belum ada lagi pesalah berulang,” katanya.