Ambil peluang bina semula kehidupan lebih baik: Vivian
22 Okt 2021
Ahli Parlimen (DAP) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata berjuta-juta nyawa hilang di seluruh dunia dan ramai yang turut kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19.
Tetapi ironinya, kerana penderitaan inilah yang mewujudkan momentum dan peluang bagi negara-negara di seluruh dunia membangun kembali dengan lebih baik dan percaya bahawa ini adalah peluang terbaik bagi mewujudkan tempat yang lebih baik untuk semua.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar menerusi webinar bertajuk "Peluang Membangun Kembali Dengan Lebih Baik - Peranan Ahli Parlimen dalam Peralihan Kepada Ekonomi Hijau di Malaysia", baru-baru ini.
Webinar itu dianjurkan oleh ASEAN Parliamentarians For Human Rights (APHR), yang turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem), Gurmit Singh K.S, sebagai penceramah utama pada sesi webinar itu selain Vivian.
Vivian berkata, pandemik Covid-19 memaksa ramai orang menilai semula gaya hidup mereka dan ramai yang memilih berpindah ke bandar-bandar kecil untuk lebih dekat dengan keluarga.
Oleh itu katanya, bandar yang lebih kecil seperti Sandakan perlu merebut peluang itu untuk menarik kumpulan individu ini kembali mengurangkan jumlah penduduk Sandakan yang berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk mencari pekerjaan.
“Saya percaya kita mesti memulakan inisiatif yang lebih lestari untuk memajukan diri pada tahun-tahun mendatang. Dalam hal ini, penting untuk kita mendorong bandar kita menjadi lebih hijau.
"Sandakan amat bertuah dengan hutan simpan, taman-taman dan pusat pemuliharaan hidupan liar. Terdapat banyak taman di sekitar Sandakan yang menyediakan laluan atau panorama dan pemandangan yang menarik,” katanya.
Sebagai contoh selain membina kompleks membeli-belah, “mengapa kita tidak menghubungkan sahaja semua taman ini bersama melalui beberapa "koridor hijau" dan mengubahnya menjadi rangkaian laluan yang besar? Saya akan memanggilnya sebagai jalan raya hijau, yang menghubungkan pelbagai kehidupan hijau di bandar ini".
Untuk melangkah lebih jauh lagi, apa kata jika kita juga menyediakan lorong basikal secara sebelah menyebelah dengan lebuh raya hijau kita?
Kita mungkin boleh menawarkan cara hidup alternatif dengan jalan raya hijau - sama ada untuk rekreasi, latihan kecergasan, atau untuk pergi bekerja mahupun menghadiri acara sosial.
Ini mungkin lebih menarik bagi pengunjung dan penduduk tempatan berbanding dengan pusat membeli-belah dan jejambat yang melintasi lanskap bandar kami.
Kita perlu berfikir secara berbeza ketika kita berusaha membina semula kehidupan yang lebih baik pada pasca covid dan bersama norma baharu serta membuatkan matlamat "hijau" ini sebagai sesuatu yang sangat berharga kepada semua orang, kata Vivian.
Comments