top of page
nabalunews

Ambil peluang gunakan perkhidmatan farmasi pandu lalu Hospital Tawau

9 November 2024


TAWAU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna, menggesa penduduk daerah ini untuk memanfaatkan perkhidmatan farmasi pandu lalu di Hospital Tawau sebagai satu alternatif untuk mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi hospital tersebut.


Menurutnya, perkhidmatan ini merupakan penyelesaian kepada pesakit yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan ubat susulan, terutamanya bagi mereka yang sukar mencari tempat parkir, berhadapan dengan kesesakan di kaunter farmasi, serta waktu menunggu yang lama.


“Ini adalah inisiatif yang bukan sahaja memudahkan akses kepada ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan, tetapi juga menitikberatkan keselamatan dan keselesaan pesakit,” katanya kepada media selepas majlis perasmian farmasi pandu lalu Hospital Tawau pada Jumaat


Dr. Asits menambah, perkhidmatan tersebut telah beroperasi sejak tahun 2019 dan sehingga kini, sebanyak 1,477 pesakit berdaftar, dengan purata 600 preskripsi diproses setiap bulan.


Sebelum ini, jelasnya, perkhidmatan farmasi pandu lalu Hospital Tawau berkongsi fasiliti dengan farmasi pandu lalu di Klinik Kesihatan Tawau akibat kekurangan ruang dan bangunan yang sesuai.


Tambah beliau, orang ramai yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini boleh memuat turun aplikasi MyUBAT untuk pendaftaran atau datang sendiri ke kaunter farmasi Hospital Tawau untuk mendapatkan tarikh temujanji.


Beliau juga berharap agar farmasi pandu lalu ini dapat memberikan perkhidmatan yang cepat, efisien, dan berkualiti tinggi kepada semua lapisan masyarakat di daerah ini.


Pada masa ini, terdapat 13 perkhidmatan farmasi pandu lalu di seluruh negeri, melibatkan tujuh di hospital dan enam di klinik kesihatan.

Kommentarer


bottom of page