top of page

Ambulans bawa wanita mahu bersalin terlibat kemalangan dengan kereta peronda polis

  • nabalunews
  • Aug 20, 2024
  • 2 min read

19 Ogos 2024

TENOM: Seorang wanita yang sakit hendak bersalin berdepan detik cemas apabila ambulans yang membawanya ke hospital, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) di Kilometer 13 Jalan Tenom – Keningau, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita itu bagaimanapun selamat dipindahkan ke ambulans lain dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.


Difahamkan, wanita terbabit selamat melahirkan anak perempuan di Hospital Keningau pada pagi itu juga.


Memetik laporan Info X, Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Ediansha Endal berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu ambulans dalam perjalanan dari Hospital Tenom untuk menghantar wanita terbabit

ke Hospital Keningau.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta MPV polis membelok ke kanan dan pada masa yang sama pemandu ambulans tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat lalu melanggar bahagian tepi kereta MPV polis berkenaan,” katanya

seperti dilaporkan Info X, hari ini.


Ediansha berkata kedua-dua kenderaan terbabit telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.


“Pemandu MPV polis, lelaki berusia 37 tahun dan pemandu ambulans berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Manakala penumpang hadapan MPV polis berusia 21 tahun cedera ringan. Penumpang yang berada dalam ambulans terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat terlatih dan jururawat masyarakat juga tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Wanita yang ingin bersalin selamat dipindahkan ke kenderaan ambulans lain dan dihantar ke Hospital Keningau,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua kenderaan yang terbabit itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom untuk tindakan lanjut.


“Ketika kejadian keadaan cuaca berkabus dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


“Polis khususnya IPD Tenom ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan menjadi pengguna jala raya yang peka dengan cuaca berkabus pada waktu pagi bagi mengelak dari sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page