Anak muda tuntut jaminan ekonomi - UPKOAnak muda tuntut jaminan ekonomi - UPKO
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anak muda tuntut jaminan ekonomi - UPKO


Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang

17 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew dan Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Golongan belia mahukan agar suara mereka didengari dan aspirasi, impian serta harapan mereka diberikan keutamaan dalam pembentukan negara.


Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang berkata sememangnya generasi baharu hari ini khususnya di Sabah dan Sarawak sudah sedar dan tahu tentang intipati Perjanjian Malaysia (MA63) dan mereka sebenarnya mahu menuntut jaminan ekonomi.


"Hari ini pelbagai isu yang dihadapi oleh golongan muda seperti pekerjaan, kos sara hidup, ekonomi dan sebagainya. Anak muda mahu kehidupan meraka lebih terjamin, lebih selesa dan mempunyai peluang-peluang untuk memajukan diri serta berjaya dalam kerjaya masing-masing.


"Melalui kajian tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kita dapati bahawa hampir 40 peratus tenaga buruh di Malaysia ini adalah golongan belia dan jika kita lihat, kadar pengangguran di Malaysia sehingga Julai 2021 telah mencapai 778,000 orang. Angka ini amat membimbangkan.


"Isu-isu seperti inilah yang merupakan perkara utama bagi belia dan mereka mahu agar kerajaan dapat menyediakan peluang-peluang eknomi bagi menjamin kehidupan mereka yang lebih baik.


"Oleh sebab itu, penting untuk negara kita menarik lebih banyak pelabur-pelabur asing dan syarikat-syarikat gergasi yang boleh membuka plaburan, membuka perniagaan dan seterusnya menjana peluang pekerjaan negara kita," katanya


Beliau berkata demikian semasa sesi forum UPKO sempena Hari Malaysia yang bertajuk "Harapan Rakyat Melalui Pembentukan Persekutuan Malaysia" melalui aplikasi Clubhouse, baru-baru ini.


Bagi soal pendidikan pula, Felix berkata ramai pemuda dan juga golongan generasi baharu hari ini mahu memperkembangkan kemahiran, kepakaran, kebolehan dan juga kerjaya mereka.


Oleh itu, katanya mereka mahu lebih banyak peluang dari segi pembangunan belia, latihan, kursus dan bengkel kemahiran dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan prestasi dan pendapatan mereka.


"Selain dari itu, golongan muda juga mahu agar kerajaan hari ini untuk memastikan akses internet ini dipertingkatkan di seluruh negara terutama sekali di Sabah yang masih jauh ketinggalan


"Kerajaan hari ini harus memperkasakan dan memastikan golongan muda menceburkan diri dalam bidang sains teknologi dan inovasi. Jika tidak, nescaya negara akan jauh ketinggalan.


"Tidak dinafikan juga hari ini ramai pemuda, belia dan generasi baharu yang tahu serta peka dengan perkembangan politik yang berlaku di negara kita. Harapan dan aspirasi mereka ialah ingin melihat sebuah negara yang stabil dari segi politik.


"Mereka mahu melihat pemimpin yang benar-benar dapat memahami dan menyelami jiwa anak muda. Pemuda hari ini jauh berbeza dengan genarasi yang dahulu, mereka lebih berpengetahuan dan lebih terdedah kepada maklumat, informasi dan lebih keterhadapan," jelasnya.


Menurut Felix, belia juga mahu agar dasar-dasar mahupun polisi negara dapat memberikan jaminan dan penekanan kepada keperluan-keperluan dan tuntutan generasi baharu demi kehidupan yang lebih baik dan terjamin.


Tambahnya, generasi baharu juga mahukan pemimpin yang lebih dinamik, kompeten, efektif dan inklusif dan bukan hanya 'berjanji bulan dan bintang' tetapi tiada tindakan atau komitmen.


"Tidak dinafikan terdapat ramai golongan generasi baharu yang beranggapan apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini dipandang negatif disebabkan perkara-perkara yang telah berlaku seperti sistem demokrasi yang sudah tercalar.


"Hari ini, pemerintah negara kita ialah parti yang kalah dan parti yang menang dan mendapat mandat rakyat pula jadi pembangkang. Demikian juga dengan sistem demokrasi berparlimen dan Institusi Diraja-Raja Berperlembagaan yang agak tercalar baru-baru ini.


"Golongan muda juga tidak mahu pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan skandal politik dan salah guna kuasa serta gejala rasuah. Mereka mahu lihat negara Malaysia ini yang menjadi kebanggaan, disanjung dan dihormati," jelasnya.


Dalam pada itu, Felix berkata beliau yakin bahawa pemuda, generasi baharu dan belia pada masa kini tahu dan sedar bahawa negara berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memenuhi segala tuntutan mereka.


"Pandemik Covid-19 yang telah melanda negara telah memberikan impak yang sangat besar terhadap segala aspek kehidupan termasuklah ekonomi, sosial dan juga emosi. Kita tahu ramai anak muda hari ini kehilangan kerja, kehilangan sumber pendapatan dan banyak juga perniagaan mereka yang telah ditutup.


"Walau bagaimanapun, dalam kita mengharungi pandemik ini, pimpinan negara harus memastikan bahawa kelangsungan, keharmonian dan kebajikan rakyat yang sangat terkesan dengan pandemik ini harus ditangani dengan sebaik mungkin kerana ini merupakan tanggungjawab kewajiban dan peranan utama kepimpinan negara pada hari ini.


"Oleh itu, suara dan aspirasi anak muda perlu diutamakan kerana merekalah yang bakal mewarisi kepimpinan negara suatu hari nanti."

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page