Ancaman Pakar Patologi Di Media Sosial, Bekas Guru Besar Mengaku Tidak Bersalah
- nabalunews
- Sep 11
- 1 min read

11 September 2025
KOTA KINABALU: Bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran laman sosial berunsurkan ancaman terhadap pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah terhadap kenyataan yang dibuat menerusi laman media sosial Facebook, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat penghantaran komunikasi yang mengancam iaitu “ Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal...bila dia kerja...upah bah...pemandu langgar lari”.
Hantaran tersebut telah dibaca oleh mangsa yang kemudiannya tampil membuat laporan polis.
Hantaran itu dilakukan pada 4 September 2025, kira-kira jam 11 malam menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Amung Kamaruddin’.
Kamul didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Marlina kemudiannya memerintahkan Kamul dikenakan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin tempatan dengan menyediakan resit utiliti bagi membuktikan penjamin adalah orang tempatan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan.


















Comments